Pertumbuhan perdagangan Malaysia catat 5.0 peratus pada 2017 - Mustapa
Bernama
Jun 6, 2017 10:20 MYT
Jun 6, 2017 10:20 MYT
Pertumbuhan perdagangan Malaysia bagi 2017 mencatat 5.0 peratus biarpun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Apa yang kita alami (dalam tempoh) empat bulan ini amat luar biasa dan kita mencatat peningkatan perdagangan yang amat ketara sejak lima, enam tahun (lepas) yang melebihi 20 peratus tahun ini. Jadi, kita rasa amat sukar untuk mempertahankan peningkatan ketara sedemikian.
"Pada masa ini, kita masih belum menyemak semula unjuran sebelum ini berikutan keadaan yang masih lagi tidak menentu. Perdagangan dunia (sedang) berkembang dengan baik tetapi sukar untuk kita ketahui bagaimanakah keadaannya pada separuh kedua tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis buka puasa anjuran kementerian itu di sini, pada Isnin yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Ahmad Maslan.
Lebih 500 tetamu dari kementerian dan agensinya hadir termasuk meraikan 20 pelajar Pusat Tahfiz Darul Furqan Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur pada majlis berkenaan.
Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2017 berkembang 22.5 peratus kepada RM139.18 bilion berbanding bulan sama tahun lepas manakala eksport meningkat 20.6 peratus kepada RM73.97 bilion.
Dalam pada itu, jumlah perdagangan bagi tempoh empat bulan pertama 2017 turut melonjak 23.8 peratus kepada RM569.68 bilion berbanding RM460.02 bilion bagi tempoh sama, tahun lepas.
Selain itu, Mustapa berkata hubungan perdagangan dengan negara-negara Timur Tengah kekal kukuh terutamanya selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada Februari lepas.
"Oleh itu, apa yang berlaku pada pagi ini tidak akan memberi impak kepada hubungan perdagangan dan pelaburan kita," katanya.
Beliau diminta mengulas tindakan oleh enam negara Arab, termasuk Arab Saudi dan Mesir yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar yang didakwa menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu.
-- BERNAMA
#Ahmad Maslan
#Arab Saudi
#Diplomatic
#ekonomi
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#menteri
#Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
#Mesir
#Mustapa Mohamed
#pelaburan
#pelajar
#Qatar