Pertumbuhan pasaran ekuiti Malaysia meyakinkan

Astro Awani
Januari 8, 2013 11:21 MYT
Templeton Emerging Markets Group, optimis tentang pertumbuhan pasaran ekuiti Malaysia tahun ini walaupun menjelang pilihan raya umum ke-13.
Pengerusi eksekutifnya, Dr. Mark Mobius berkata pilihan raya itu dijangka tidak memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia yang mempunyai pertumbuhan ekonomi baik dengan inflasi yang rendah serta kerajaan mesra pelabur.
Menurut Dr. Mark yang juga penganalisis pasaran, walau apa pun yang terjadi pada pilihan raya umum itu nanti, dasar ekonomi secara umum dan sosial akan diteruskan.
Katanya lagi, biarpun terdapat ketidaktentuan jangka pendek, unjuran ekuiti negara masih positif dengan banyak peluang.
Kedudukan strategik Malaysia di dalam Asean serta berjiran dengan Thailand, Singapura dan Indonesia juga memberikan banyak peluang untuk pertumbuhan perdagangan.
Selain itu, Malaysia mempunyai ekonomi menyeluruh dengan sektor komoditi dan industri yang akan menyumbang kepada pertumbuhan kukuh.
Beliau berkata perbelanjaan dijangka meningkat sejajar dengan kenaikan pendapatan di negara-negara pesat membangun termasuk Malaysia, dan dijangka mendorong permintaan untuk produk dan perkhidmatan.
#Dr. Mark Mobius #ekonomi malaysia #pasaran ekuiti #Pilihanraya umum ke-13