Pertumbuhan Malaysia pada 2012 mengatasi unjuran
Astro Awani
Februari 16, 2013 09:43 MYT
Februari 16, 2013 09:43 MYT
Malaysia mencatat prestasi yang baik pada 2012, dengan Ernst And Young mengunjurkan pertumbuhan 5.1 peratus setahun penuh, meningkat daripada 4.5 peratus daripada unjuran awal.
Penyumbang utama pertumbuhan termasuk pengembangan dasar fiskal dan sokongan kukuh kerajaan yang merangsang pelaburan dan perbelanjaan pengguna.
Menurut peneraju pasaran Malaysia Ernst And Young, Azwan Baharuddin, pelaburan sangat pesat berkembang lebih 20 peratus pada suku ketiga, didorong sokongan kerajaan yang kukuh menerusi projek infrastruktur.
Penggunaan swasta turut mengekalkan pertumbuhan padu pada suku ketiga pada 8.5 peratus
"Walaupun kami menjangkakan pertumbuhan akan menyederhana pada suku pertama 2013, dasar kerajaan yang menyokong dalam pembangunan bakat dan penerimaan teknologi, akan terus memain peranan penting dalam pembangunan transformasi dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang," kata Azwan.
Di peringkat Asean pula, pasaran pertumbuhan pesat berada pada momentum pertumbuhan tinggi, dijana oleh Komuniti Ekonomi Asean (AEC).
Syarikat Malaysia juga secara konsisten memberi tumpuan ke atas dagangan serantau , dengan banyak syarikat memilih untuk meluaskan perniagaan dalam ekonomi pesat membangun Asia yang lain khususnya Indonesia dan Vietnam.