Pertumbuhan Malaysia kekal di atas trend 4.5 peratus, dipacu pelaburan, penggunaan - UBS
Bernama
Februari 26, 2025 18:36 MYT
Februari 26, 2025 18:36 MYT
Malaysia juga katanya kekal sebagai penerima manfaat utama bagi pelaburan berkaitan peralihan rantaian bekalan seiring dengan perkembangan sektor teknologi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal di atas trend pada 4.5 peratus, dipacu terutamanya oleh pelaburan dan penggunaan yang kukuh, kata UBS Investment Bank Global Research.
Ahli Ekonomi Kanan ASEAN dan Asia UBS bank berkenaan Grace Lim berkata pertumbuhan eksport juga dijangka kekal positif.
Beliau berkata peningkatan pelaburan langsung asing dalam pusat data dan pembuatan, di samping perbelanjaan pembangunan yang tinggi dalam dua tahun kebelakangan ini membantu ledakan pertumbuhan negara ini.
Malaysia juga katanya kekal sebagai penerima manfaat utama bagi pelaburan berkaitan peralihan rantaian bekalan seiring dengan perkembangan sektor teknologi.
"Kesemua ini telah diterjemahkan kepada peningkatan aktiviti ekonomi dari perspektif pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Kami melihat pembentukan modal tetap kasar yang kukuh pada 2024 melebihi 12 peratus dalam istilah sebenar, dan menjangkakan ini akan kekal di atas tujuh peratus pada 2025," katanya dalam satu kenyataan.
Begitu juga, Lim berkata penggunaan domestik kekal berdaya tahan, dipacu oleh pertumbuhan upah benar.
Beliau berkata walaupun penggunaan berkembang melebihi trend pada 2023 dan 2024, peningkatannya dijangka mereda namun masih disokong oleh pertumbuhan gaji sebenar yang positif dan kadar pengangguran yang rendah.
Berhubung dengan ketahanan ekonomi ASEAN, Lim menekankan permintaan domestik yang kukuh dan asas yang mantap akan terus menyokong ekonomi di rantau ini.
Asia Tenggara juga merupakan rantau alternatif strategik bagi para pelabur, katanya.
Negara-negara seperti Malaysia dan Thailand menarik FDI dalam sektor kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik, dan semikonduktor kerana syarikat-syarikat mengembangkan pengeluaran.
Secara umumnya, perdagangan intra-Asia seharusnya semakin mendalam dengan pengembangan pasaran eksport dan kepelbagaian sumber pengeluaran, dan memberi manfaat kepada sektor ini secara keseluruhan, katanya.
Perkembangan ini akan memberi manfaat kepada negara-negara yang paling bersedia untuk mendapat keuntungan daripada perubahan ini.
"Sebagai contoh, kami percaya bahawa peralihan berterusan dalam rantaian bekalan ke ASEAN (terutamanya Vietnam, Malaysia, dan Thailand) akan kekal dalam jangka sederhana.
"Pelaburan pembuatan ke ASEAN dijangka berlanjutan dalam jangka sederhana berikutan firma-firma mencari peluang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dan pasaran eksport," kata Lim
-- BERNAMA