Pertumbuhan KDNK rantau Asia membangun dijangka pulih semula kepada 7.3 peratus pada 2021 - ADB

Bernama
April 28, 2021 11:54 MYT
Menurut Asian Development Outlook 2021, kebangkitan semula ekonomi rantau ini sedang berlaku, disokong pemulihan global yang sihat serta kemajuan vaksin.
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau Asia membangun dijangka pulih semula kepada 7.3 peratus tahun ini dan sederhana dengan pertumbuhan 5.3 peratus tahun depan, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).
Menurut terbitan ekonomi utamanya, 'Asian Development Outlook' (ADO) 2021, kebangkitan semula ekonomi rantau ini sedang berlaku, disokong oleh pemulihan global yang sihat serta kemajuan vaksin.
ADB berkata pemulihan telah bermula di Asia membangun, tetapi pada skala kecepatan yang berbeza, dengan pertumbuhan paling kukuh diramalkan di Asia Timur dan Selatan, dan lebih sederhana di Asia Tengah, Asia Tenggara dan Pasifik.
"Pertumbuhan di kebanyakan ekonomi serantau mengukuh pada lewat 2020. Eksport, terutama elektronik dan produk yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 seperti peralatan pelindung peribadi telah menjadi pemacu penting kepada pemulihan yang lebih cepat daripada jangkaan.
"Dan ini boleh dilihat dalam perubahan yang sihat sektor pembuatan. Kebangkitan ekonomi sangat kuat terutamanya di Asia Timur, tetapi lebih lemah di tempat lain, terutama di Pasifik," katanya.
Asia Timur diunjurkan berkembang sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2021, sementara Asia Selatan akan mengalami pertumbuhan terpantas di Asia tahun ini pada 9.5 peratus.
Ekonomi Asia Tenggara akan tumbuh 4.4 peratus pada 2021 dan 5.1 peratus pada 2022, Asia Tengah cenderung untuk berkembang 3.4 peratus pada 2021 dan 4.0 peratus pada 2022, sementara Pasifik mungkin menyaksikan pertumbuhan sederhana 1.4 peratus tahun ini dan 3.8 peratus tahun depan.
ADB turut menyedari bahawa trend yang berbeza juga jelas dilihat di pasaran tenaga kerja dengan pengangguran menurun tidak sekata di keseluruhan ekonomi.
Secara keseluruhan, ekonomi rantau Asia membangun menyusut 0.2 peratus, dengan 32 daripada 46 negara anggota ADB membangun mencatat pertumbuhan negatif.
Asia Selatan mencatatkan penguncupan terbesar berikutan penurunan 8.0 peratus dalam KDNK India, sementara Asia Tenggara menyusut dengan ketara, disebabkan oleh penguncupan 9.6 peratus di Filipina dan 6.1 peratus di Thailand.
Kegiatan ekonomi juga menurun di Asia Tengah ketika harga komoditi dan pengiriman wang menyusut sementara kejatuhan teruk kedatangan pelancong mendorong Pasifik menuju kepada kemelesetan.
Sebaliknya, Asia Timur mengenepikan trend itu dengan mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2020, didorong oleh pemulihan pesat dan pengembangan 2.3 peratus di China.
Sementara itu, inflasi secara purata di rantau Asia membangun diunjurkan turun daripada 2.8 peratus pada 2020 kepada 2.3 peratus pada tahun 2021, ketika tekanan harga makanan mereda dan inflasi menjadi sederhana di India dan China.
Harga pada tahun 2022 dijangka meningkat 2.7 peratus, didorong terutamanya oleh China sementara inflasi akan lebih rendah di Asia Tengah dan Asia Selatan, dengan harapan yang lebih stabil terhadap nilai tukaran dan harga makanan yang dijangka memainkan peranan besar di lingkungan rantau ini.
ADB juga menjangkakan lebihan akaun semasa di rantau ini akan mengecil daripada 2.4 peratus KDNK pada tahun 2020 kepada 2.1 peratus tahun ini.
Ia menambah aktiviti ekonomi yang lebih sihat secara beransur-ansur akan menyebabkan import meningkat dengan lebih cepat berbanding eksport di kebanyakan ekonomi di Asia membangun, membalikkan penguncupan import dan peningkatan akaun semasa yang dilihat pada tahun 2020.
Hasilnya, lebihan akaun semasa rantau ini dijangka berkurangan.
Sehubungan itu, ADB berpendapat risiko akan menjadi lebih mendalam terutama pada bagaimana pandemik COVID-19 berkembang.
"Wabak baharu yang signifikan atau program vaksinasi yang tertangguh boleh memanjangkan gangguan terhadap pergerakan dan kegiatan ekonomi sekali gus menerukkan lagi krisis di beberapa ekonomi.
"Risiko lain untuk prospek termasuk ketegangan geopolitik, kesulitan pengeluaran, keberkesanan vaksin yang terhad dan kemelut kewangan akibat keadaan kewangan yang semakin ketat," katanya.
Di samping itu, kesan jangka panjang seperti kerugian dalam pembelajaran yang disebabkan oleh penutupan sekolah kerana penularan pandemik juga boleh berlaku.
ADB percaya negara-negara membangun berkemungkinan terus menghadapi kesulitan dalam mempercepat vaksinasi kerana masalah bekalan vaksin dan kurangnya kemudahan dan pekerja penjagaan kesihatan kesihatan.
Pada akhir bulan Mac, rantau Asia membangun telah memberikan sekitar 214 juta dos atau secara purata 5.2 dos untuk setiap 100 orang, didahului oleh China, India, Indonesia dan Bangladesh.
Bank itu turut menyatakan data mengenai jumlah orang dewasa yang telah divaksinasi sepenuhnya di rantau ini hanya tersedia untuk 15 negara anggota ADB membangun.
Daripada jumlah berkenaan, bahagian populasi yang diberi vaksin sepenuhnya melebihi 5.0 peratus hanya di Palau (29.2 peratus), Marshall Islands (13.5 peratus), the Federated States of Micronesia (8.4 peratus) dan Singapura (6.6 peratus).
-- BERNAMA
#Asian Development Outlook 2021 #Asian Development Bank #Asia membangun #China #Indonesia #Thailand #India #Bangladesh #Asia #bank #KDNK #COVID-19 #program vaksinasi #vaksin #ekonomi #pandemik #kesihatan #Singapura #Filipina #pelancong #pertumbuhan
;