Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka melonjak pada 2024 - RAM Ratings

Bernama
Februari 27, 2024 05:20 MYT
RAM Ratings berkata pertumbuhan eksport Malaysia juga menguncup pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada suku keempat 2023, dengan Januari 2024 menunjukkan pemulihan pertumbuhan kepada 8.7 peratus. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2024.
Agensi penarafan kredit terkemuka itu juga percaya bahawa terdapat peningkatan ke atas bagi ekonomi pada 2024, walaupun prestasi suku keempat 2023 meningkat pada 3.0 peratus.
Ia berkata ekonomi global mungkin tumbuh secara sederhana, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan unjuran pertumbuhan global 2024 sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 3.1 peratus bulan lepas.
Ia berkata pertumbuhan eksport Malaysia juga menguncup pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada suku keempat 2023 (suku kedua 2023: -11.1 peratus; suku ketiga 2023: -15.2 peratus), dengan Januari 2024 menunjukkan pemulihan pertumbuhan kepada 8.7 peratus.
"Ditambah dengan ramalan kitaran naik dalam perdagangan dan semikonduktor, kita mungkin melihat tanda-tanda awal pemulihan dalam perdagangan global.
"IMF meramalkan pertumbuhan perdagangan global pulih daripada 0.4 peratus tahun lepas kepada 3.3 peratus tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.
RAM Ratings berkata inflasi pada Januari 2024 terus menuju ke arah pengurangan tekanan harga (susulan inflasi utama kekal pada 1.5 peratus), serta pasaran pekerjaan yang teguh dan keadaan kewangan yang menyokong, mampu mendorong permintaan domestik lebih tinggi tahun ini.
"Pada masa hadapan, risiko utama masih kekal, dengan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat mewujudkan potensi turun naik pasaran dan tekanan harga import terhadap pasaran domestik berikutan nilai ringgit yang menyusut.
"Konflik geopolitik yang semakin meningkat boleh mengancam pasaran komoditi global dan rantaian bekalan sekali lagi.
"Di dalam negeri, kami sentiasa berwaspada terhadap pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 pada separuh kedua 2024," katanya.
Ia menyatakan bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia 2023 berada pada 3.7 peratus berbanding konsensus 4.0 peratus, terutamanya disebabkan oleh permintaan eksport yang lebih lemah dan momentum penggunaan yang lebih rendah.
-- BERNAMA
#KDNK #RAM Rating Services #pertumbuhan ekonomi Malaysia #ekonomi global
;