Pertumbuhan KDNK dijangka lebih tinggi daripada unjuran BNM

Bernama
Julai 29, 2024 07:31 MYT
Menurut Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB, ringgit telah menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang asing yang lain, kerana tindakan yang diselaraskan, mengurangkan tekanan daripada antara lain, perbezaan kadar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai tahap tertinggi daripada yang disasarkan antara empat hingga lima peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024, menurut Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB.
Ini berikutan peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun dalam anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2024, kata bank tersebut dalam satu nota penyelidikannya hari ini.
CIMB berkata faktor-faktor seperti pasaran buruh yang teguh, perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan yang berterusan, peningkatan dalam realisasi pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan perdagangan dan peningkatan pelancongan merupakan penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi negara.
Selain itu, ringgit telah menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang asing yang lain, kerana tindakan yang diselaraskan telah mengurangkan tekanan daripada perbezaan kadar, perkembangan global, dan risiko geopolitik.
"BNM telah memantau aliran tukaran mata wang dua hala yang lebih sihat, disokong oleh pendapatan pelaburan dan penukaran dalam eksport, serta fleksibiliti pantas untuk korporat melabur ke luar negara. Ini menegaskan bahawa campur tangan adalah dipacu pasaran dan bukannya permulaan kepada kawalan modal," katanya.
Sementara itu, CIMB menekankan bahawa Malaysia sedang menghalakan kecairan ke arah pelaburan untuk merangsang pertumbuhan. Syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dijangka memperuntukkan antara RM400 bilion dan RM500 bilion ke dalam pelaburan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pelaburan ini adalah penting untuk membangunkan insentif dan ekosistem serantau, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Forest City dan pelbagai projek-projek taman perindustrian.
Pelaburan ini juga akan memudahkan penyelarasan pembiayaan dengan projek-projek dan memperluaskan manfaat FDI melalui rantaian bekalan dalam negara.
CIMB menambah pelaksanaan pembaharuan dan dasar yang lebih kukuh untuk asas-asas domestik Malaysia berkemungkinan akan meningkatkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia yang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 3.75-3.80 peratus.
Bersama dengan sentimen pelabur yang semakin baik dan kemungkinan pemotongan kadar dasar oleh AS, faktor-faktor itu juga dijangka mempengaruhi kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit, yang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 4.53.
-- BERNAMA
#Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB #Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar #Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura #Forest City