Pertumbuhan jualan Proton melonjak 52 peratus pada Februari
Bernama
Mac 3, 2023 16:12 MYT
Mac 3, 2023 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Proton berjaya mencatat jualan sebanyak 14,033 unit kenderaan pada Februari 2023 bagi pasaran domestik dan eksport -- peningkatan sebanyak 52 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Jumlah jualan itu adalah 20.1 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2023 manakala bagi dua bulan pertama tahun ini, volum tahun sehingga kini (YTD) telah melonjak 88 peratus kepada 25,714 unit, kata pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pihaknya berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan bagi sepanjang tahun ini.
"Dalam beberapa bulan akan datang, Proton akan membuat beberapa pengumuman untuk membentuk hala tuju syarikat bagi 2023 dan seterusnya. Ini merupakan tahun yang sibuk kerana kami kini hadir dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha kenderaan elektrik (EV) kami apabila jualan pintar #1 bermula," katanya.
Pegangan pasaran Proton bagi Februari juga dianggarkan mencapai 22.7 peratus, sekali gus meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran dan mencatat peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding Februari 2022.
Bagi segmen B, Proton Persona membuktikan daya tarikannya berbanding pesaing baharu apabila terbukti tidak terjejas berikutan kekurangan komponen.
"Menerusi 2,313 unit terjual pada Februari, model itu menembusi sasaran sebanyak 2,000 unit bagi bulan ketiga berturut-turut dan kali pertama mencapai prestasi sedemikian sejak melakukannya dalam lima bulan berturut-turut dari Jun-Oktober 2020," katanya.
Selain itu, Proton X50 mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B serta SUV paling popular secara keseluruhan dengan jualan 3,247 unit pada Februari serta peningkatan jualan sebanyak 11 peratus dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Dalam pada itu, Proton Exora terbukti bangkit semula apabila jualan peneraju MPV segmen C itu telah meningkat sebanyak 216% berbanding tempoh sama pada tahun 2022.
Proton Saga mengakhiri jualan bulan itu dengan 6,345 unit dan mengekalkan kedudukannya sebagai model Proton paling laris menerusi jualan 11,133 unit yang mengagumkan setakat tahun ini manakala Proton X70 mencatat serahan 981 unit pada Februari dan 1,914 unit secara keseluruhan untuk tahun tersebut.
"Proton Iriz mencatat prestasi terbaik sejak Ogos 2022 dengan 811 unit berjaya dijual yang juga peningkatan sebanyak 156 peratus untuk dua bulan pertama tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#volum tahun sehingga kini
#Roslan Abdullah
#asaran domestik dan eksport
#kenderaan utiliti sukan X50