Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian menyederhana kepada 1.8 peratus pada Januari 2023 - Perangkaan
Bernama
Mac 13, 2023 04:30 MYT
Mac 13, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia menyederhana kepada 1.8 peratus pada Januari 2023 berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi oleh pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, output sektor pembuatan mengembang 1.3 peratus tahun ke tahun berbanding 3.0 peratus pada Disember 2022 manakala output elektrik menyusut pada kadar yang lebih pantas iaitu 4.3 peratus berbanding 2.2 peratus sebelumnya.
Sementara itu, pengeluaran perlombongan berkembang sebanyak 5.9 peratus berbanding 3.9 peratus pada Disember 2022.
"Pertumbuhan tahun ke tahun bagi IPP bulan Januari 2023 juga merupakan yang terendah dicatatkan sejak Ogos 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Secara perbandingan bulan ke bulan, IPP terus merosot sebanyak 2.3 peratus, selepas mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik menyumbang kepada penyederhanaan dalam pertumbuhan sektor pembuatan.
Pertumbuhan output industri berorientasikan eksport perlahan kepada 0.6 peratus daripada 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran industri berorientasikan domestik meningkat 2.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022.
Pengeluaran pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pembuatan, merekodkan pertumbuhan output yang perlahan kepada 0.8 peratus berbanding 7.6 peratus pada Disember 2022, selari dengan momentum perlahan dalam sektor perdagangan luaran dan trend penurunan dalam industri semikonduktor global.
Pada masa yang sama, Mohd Uzir berkata pengembangan kukuh dilihat pembuatan kok dan produk petroleum bertapis dengan pertumbuhan output sebanyak 11.0 peratus dan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dengan 8.3 peratus.
Beliau menjelaskan pengeluaran industri berorientasikan domestik yang menyumbang sebanyak satu pertiga daripada output pembuatan dan ia didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separuh treler yang berkembang sebanyak 12.2 peratus.
Pertumbuhan output adalah positif dalam hampir kesemua produk industri berorientasikan domestik kecuali bagi pembuatan minuman; dan pembuatan logam asas yang mencatatkan penguncupan pada bulan tersebut.
Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan 5.9 peratus dalam pengeluaran sektor itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh 8.0 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat serta 4.5 peratus dalam indeks gas asli.
"Indeks perlombongan meningkat 1.7 peratus (Januari 2023) berbanding pertumbuhan 1.1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," katanya. - BERNAMA