Pertumbuhan import eksport e-dagang Malaysia-China meningkat

Afiezy Azaman
September 20, 2019 13:59 MYT
Darell Leiking melancarkan Karnival Produk E-Dagang Rentas Sempadan China-Malaysia Bersempena dengan Ekspo ASEAN China (CAEXPO) 2019 di Nanning, China. - Gambar Astro AWANI
Pertumbuhan import eksport hab logistik e-dagang Malaysia-China meningkat kepada RM21 juta bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2019 berbanding RM16 juta untuk tempoh yang sama.
Ini sekali gus mencapai peratusan 32.27 peratus secara keseluruhan untuk kedua-dua tahun bagi tempoh yang sama (Januari sehingga Ogos).
Menurut China Post Guangxi, nilai import Malaysia ke China berjumlah RM6 juta manakala eksport negara itu ke Malaysia bernilai RM15 juta untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Antara lima barangan utama yang diimport dari Malaysia ke China adalah sarang burung (RM2 juta), durian dan produk berasaskan durian ( RM1.6 juta), makanan (RM900,000), minuman (RM700,000) dan produk kayu (RM35,000).
Pada tahun 2017 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), China Post Guangxi Zhuang Autonomous Region Branch dan KCO Logistics and Distribution Services Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU).
Hab logistik e-dagang Malaysia-China itu ditubuhkan bagi menyediakan kemudahan serta peluang kepada syarikat dari kedua-dua negara mengakses pasaran yang lebih besar.
Setakat ini sebanyak 50 buah syarikat tempatan terlibat dalam memasarkan produk mereka melalui hab e-dagang China Post Group seluruh China.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta Pengurus Besar Guangxi Post, Li Kaile melancarkan Karnival Produk E-Dagang Rentas Sempadan China-Malaysia bersempena dengan Ekspo ASEAN China (CAEXPO) 2019 di Nanning, China.
CAEXPO 2019 akan bermula pada 21 sehingga 24 September ini.
#China #E-dagang #eksport #hab logistik #import #Matrade
;