Pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4.0 peratus masih lemah - Mohd Afzanizam
Fareez Azman
Julai 12, 2021 06:28 MYT
Julai 12, 2021 06:28 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi negara yang dijangka tumbuh sekitar 4.0 peratus tahun ini masih menunjukkan pertumbuhan yang lemah berbanding era pra-pandemik sebelum ini.
Demikian jelas Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid susulan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin.
Meskipun sasaran terbabit boleh dicapai, namun jelas Mohd Afzanizam, situasi pandemik yang tidak menentu boleh mendatangkan kesan sebaliknya.
"Kalau 4.0 peratus takda masalah, boleh dicapai, sebab base (asas) KDNK (keluaran dalam negara kasar) tahun lepas rendah dan ekonomi separuh tahun pertama dalam keadaan baik, terutama April dan Mei, masih dalam jajaran pemulihan.
"Jadi, sumbangan ekonomi bulan-bulan lepas itu seharusnya dapat melonjakkan kegiatan ekonomi, cuma kita risaukan angka seterusnya.
"Jadi, 4.0 peratus itu walaupun nampak positif tetapi masih lagi rendah. Kalau kita bandingkan ekonomi 4.0 peratus tahun ini, masih lagi rendah jika dibandingkan dengan ekonomi pada 2019, ketika sebelum pandemik.
"Kalau dapat capai 4.0 peratus pun, masih lemah lagi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas lanjut, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat juga menyebabkan sektor ekonomi terkesan.
Lebih lagi, apabila tiada masa yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang hanya bergantung kepada tiga indikator seperti dimaklumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Namun, menurut Afzanizam, hanya program vaksinasi dapat menyegerakan pemulihan semula ekonomi negara apabila semua sektor kembali beroperasi.
"Persoalan pokok perlu kita capai sebenarnya ialah, berapa cepat kita boleh buka semula ekonomi?
"Jalan yang paling jelas adalah program vaksinasi yang perlu dilakukan secepat mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok.
"Kalau tidak dapat dicapai, letaklah banyak mana bantuan pun, kalau ekonomi masih tertutup, masih lagi banyak kekangan. Jadi, susah ekonomi hendak bergerak.
"Ini akan menyebabkan kesan rantaian kepada industri berkenaan," jelasnya lagi.
Terdahulu semalam, Tengku Zafrul menjangkakan ekonomi negara akan tumbuh pada kadar sekitar 4.0 peratus tahun ini.
Dalam temu bual bersama Bloomberg TV, beliau menjangkakan kerajaan akan menyemak turun KDNK negara selepas lebih banyak data diterima.
Beliau pada masa sama turut menjangkakan had hutang negara dinaikkan daripada 60 peratus semasa kepada 65 peratus untuk membolehkan kerajaan meminjam bagi membiayai pelan bantuan ekonomi.
Jelasnya, PPN adalah pelan yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa.
#KDNK
#Perdana Menteri
#ekonomi
#Malaysia
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#program vaksinasi
#jangkitan
#imuniti kelompok
#Astro Awani
#Mohd Afzanizam Abdul Rashid
#pertumbuhan ekonomi Malaysia