Pertumbuhan ekonomi negara sederhana kepada 4.7%, 2016 - OCBC Bank
Luqman Hariz
Januari 22, 2016 12:48 MYT
Januari 22, 2016 12:48 MYT
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkurangan kepada 4.7 peratus bagi 2016 berbanding 4.8 peratus tahun lalu.
Menurut Ketua Pakar Ekonomi & Ketua Penyelidikan Perbendaharaan dan Strategi OCBC Bank Selena Ling, Malaysia dijangka terus terpengaruh dengan faktor-faktor luaran seperti mana tahun lalu.
"Kami menjangkakan plot yang sama untuk Malaysia tahun ini, ekonomi akan perlahan disebabkan faktor-faktor utama seperti kelemahan harga minyak yang berterusan, ketidaktentuan ekonomi dan pasaran tukaran asing dunia, serta kelembapan ekonomi China yang disumbang oleh peralihan ekonominya," kata beliau sewaktu membentangkan unjuran ekonomi dunia 2016 OCBC.
Ditanya mengenai isu pembuangan pekerja sektor minyak dan gas sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan sektor itu ekoran kelemahan harga minyak yang berterusan, beliau berkata ia tidak wajar dibimbangi.
"Sememangnya kita menyaksikan fenomena pembuangan pekerja, tetapi saya menjangka ia tidak akan mencapai tahap sewaktu krisis kewangan Asia Tenggara pada 1997 dan 1998," katanya.
Sementara itu, OCBC juga berkata dalam hal kelulusan pinjaman dan pembiayaan, bank tersebut akan kekal dengan mekanisme dan prosedur kelulusannya seperti biasa.
"Kami ada proses dalaman sendiri dan piawaian kredit dalaman sendiri.
"Kelulusan akan diberikan kepada setiap pemohon mengikut merit dan kriteria setiap permohonan, tanpa sebarang perbezaan antara mana-mana industri," kata Ketua Perbendaharaan Global OCBC Malaysia Ng Seow Pang.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai langkah Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menghentikan pelulusan pembiayaan bagi pekerja sektor minyak dan gas.
Sementara itu OCBC turut mengunjurkan Ringgit berupaya susut serendah RM4.51 ke RM4.59 berbanding dolar Amerika menjelang hujung 2016.
Ia walau bagaimanapun mengunjurkan harga minyak mentah Brent dan WTI akan naik semula sekitar paras USD45 ke 50 menjelang akhir tahun ini.