Pertumbuhan ekonomi ASEAN diunjur pada 4.3 peratus pada 2023

Bernama
Mei 5, 2023 06:15 MYT
Untuk menyokong tema 'Epicentrum of Growth', ASEAN perlu mengukuhkan kehadirannya dalam mewujudkan kestabilan dan keamanan bukan sahaja di ASEAN malah di rantau Indo-Pasifik. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: Indonesia selaku pengerusi semasa ASEAN, mensasarkan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi blok itu kepada 4.3 peratus tahun ini.
"Pada 2021, pertumbuhan mencatatkan kadar 3.98 peratus manakala kadar pertumbuhan global 2.6 peratus, yang menunjukkan daya tahan ekonomi ASEAN terhadap kejutan," lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Pengarah Kerjasama Ekonomi ASEAN di Kementerian Luar, Berlianto Situngkir.
Menurut Berlianto ASEAN kini merupakan kuasa ekonomi kelima dalam kalangan negara maju, dengan KDNK AS$3.3 trilion dan jumlah penduduk lebih 650 juta, meletakkannya di tempat ketiga selepas China dan India.
Berlianto menekankan ASEAN memerlukan empat elemen utama untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan iaitu rangka kerja kesihatan yang kukuh, keterjaminan makanan, keupayaan untuk bergerak pantas dan cepat ke arah peralihan ekonomi serta tenaga bersih dan boleh baharu serta kestabilan kewangan di rantau itu untuk menangani sebarang kejutan luaran.
"Untuk menyokong tema 'Epicentrum of Growth', ASEAN perlu mengukuhkan kehadirannya dalam mewujudkan kestabilan dan keamanan di rantau ini, bukan sahaja di ASEAN malah di rantau Indo-Pasifik," katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Sandiaga Uno berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang dijadual berlangsung di Labuan Bajo dari 9 hingga 11 Mei, negara anggota akan membincangkan langkah menggalakkan ekonomi, penjagaan kesihatan, membangunkan ekosistem kenderaan elektrik selain penyelesaian ketersambungan kewangan di rantau ini .
-- BERNAMA
#pertumbuhan ekonomi #ASEAN #KDNK #Indonesia
;