Pertimbang agih dana 'reskilling and upskilling' bagi bantu golongan hilang kerja - MTE
Faris Danial Razi
Januari 14, 2021 11:17 MYT
Januari 14, 2021 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mengagihkan dana bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau 'reskilling and upskilling' bagi membantu golongan yang telah hilang pekerjaan.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpendapat, pihak Kementerian Kewangan perlu melakukan penelitian lebih rapi bagi menangani isu tersebut.
“Sudah tentu, pihak Kementerian Kewangan harus membuat penelitian lebih rapi, namun demikian walau apa keadaan pun, kita dapat membuat beberapa perubahan kepada beberapa program tertentu.
“Saya ambil contoh, kita banyak menyediakan dana untuk tujuan-tujuan upskilling and reskilling, maksudnya melatih semula kemahiran.
“Mungkin dalam konteks ini, dana-dana sedemikian dapat diagihkan sedikit kepada konteks sokongan bantuan kepada yang hilang pekerjaan.
“Maksudnya, kita seimbangkan sedikitlah. Perlu upskilling and reskilling untuk jangka panjang, tetapi dalam tempoh ini yang penting adalah untuk memastikan kelestarian dari segi kehidupan, jadi kita kena agihkan sedikit,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Noor Azlan turut menjelaskan semua pihak dan bukan hanya pihak kerajaan supaya membuat penyusunan semula mengenai beberapa projek besar.
“Food on the table adalah perkara pertama yang yang disebut Perdana Menteri sewaktu di awal krisis tahun lalu.
“Maksudnya cukup dalam konteks untuk meneruskan kehidupan, dan tidak ada kesengsaraan. Jadi, dalam konteks ini bagi saya amat sesuai untuk kita menyusun semula keutamaan dalam bentuk program-program ini.
“Bagi saya, seluruh negara secara keseluruhannya kena melihat dan susun semula di mana yang sesuai kerana dalam keadaan ini, saya ingat dalam krisis dahulu pun, kita buat pengubahsuaian dalam konteks beberapa projek pembangunan yang boleh dilewatkan dan sebagainya.
“Dan saya yakin ini akan diperhalusi dan Insya-Allah dalam pihak MTE, perkara ini juga akan dibincangkan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program Agenda AWANI pada Rabu malam mengenai kesan darurat dan pelaksanaan PKP 2.0 kepada Keseimbangan Ekonomi dan Kesihatan.
#Agenda Awani
#Perdana Menteri
#Kementerian Kewangan
#PKP
#Pelaksanaan PKP
#kesihatan
#hilang
#ekonomi
#kerajaan
#MTE
#Majlis Tindakan Ekonomi
#hilang pekerjaan
#PKP 2 0