Pertemuan singkat pemimpin Malaysia-Indonesia ikrar tangani diskriminasi terhadap minyak sawit
Bernama
Februari 8, 2021 15:53 MYT
Februari 8, 2021 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: Pertemuan dua hala singkat antara pemimpin utama Malaysia dan Indonesia baru-baru ini menyaksikan komitmen tinggi antara kedua-dua negara untuk memerangi dengan agresif diskriminasi terhadap minyak sawit oleh Eropah, Australia dan Ocenia.
Kerjasama antara dua pengeluar gergasi dunia itu yang menyumbang 87 peratus daripada bekalan minyak sawit global penting, terutamanya kini kedua-dua negara telah mendapatkan perundingan di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU) kerana mengehadkan biofuel berasaskan minyak sawit.
Untuk rekod, Indonesia mengemukakan permintaan bagi perundingan itu pada 16 Disember 2019 manakala Malaysia pada 19 Januari 2021. Meskipun melakukannya secara berasingan, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam usaha memerangi perlakuan berat sebelah terhadap minyak sawit.
"Kempen anti-minyak sawit ini tidak berasas, tidak mencerminkan kelestarian industri minyak sawit di dunia dan bercanggah dengan komitmen EU dan WTO bagi amalan perdagangan bebas," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Jakarta pada Jumaat.
Ini merupakan lawatan luar negara rasmi pertama Muhyiddin sejak mengambil alih jawatan perdana menteri tahun lepas.
Semasa sidang media kemudiannya, Muhyiddin berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia berhubung isu diskriminasi minyak sawit terutamanya untuk mengukuhkan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi melindungi industri minyak sawit dan menyelamatkan berjuta-juta pekebun kecil yang mata pencarian mereka hanya bergantung kepada minyak sawit.
Perdana Menteri tiba di Jakarta pada lewat Khamis di atas jemputan Jokowi dan kembali ke tanah air pada Jumaat.
Pemegang kepentingan minyak sawit menyambut baik langkah oleh kedua-dua kerajaan itu dengan menyatakan sokongan dan penyelarasan oleh kedua-dua negara menerusi CPOPC penting bagi melindungi industri daripada sebarang bentuk diskriminasi.
CPOPC ditubuhkan secara bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 Nov, 2015, untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri minyak sawit.
Bagaimanapun, beberapa peserta industri berpandangan kedua-dua pemimpin perlu membincangkan dengan lebih mendalam mengenai isu buruh, terutamanya bagi sektor perladangan kerana ia merupakan kebimbangan utama bagi Malaysia.
Pertemuan antara Muhyiddin dan Jokowi membincangkan secara umum perkara berkaitan pengambilan pekerja Indonesia dan pembantu rumah dan juga menyentuh mengenai inisiatif bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan nelayan Malaysia dan Indonesia di kawasan yang mempunyai masalah maritim
Tidak seperti Indonesia, yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai, Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengalami masalah kekurangan buruh dan negara bimbang ia tidak dapat merealisasikan potensi pengeluaran sehingga 25 peratus.
Malaysia bergantung kepada pekerja dari negara seperti Indonesia dan Bangladesh apabila kedua-duanya menyumbang 84 peratus daripada tenaga kerja perladangan negara termasuk bagi syarikat perladangan utama seperti Sime Darby Plantation Bhd (SDP), Kuala Lumpur Kepong Bhd, IOI Corp Bhd dan United Plantations Bhd.
Di sebalik usaha negara untuk menarik rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan, responsnya masih kurang memberangsangkan.
Sebagai contoh, Sime Darby Plantation telah mengehadkan pencarian pekerja sawit kepada penghuni penjara menerusi kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk menyertai syarikat perladangan terbesar dunia itu.
Dalam kenyataan pada Sabtu, ketua pegawai perkhidmatan operasi Adi Wira Abd Razak berkata SDP mempelawa rakyat tempatan untuk menyertai operasi huluan dan hiliran syarikat tersebut, sekali gus dapat menepis salah tanggapan mengenai sektor itu berada dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar (3D).
"Agak menyedihkan apabila kita melihat kurangnya minat daripada rakyat tempatan, terutamanya generasi muda sejak beberapa tahun lepas untuk mengambil peluang menyertai pelbagai pekerjaan dalam industri ini.
"Mungkin ini disebabkan terdapatnya tanggapan salah bahawa ini adalah sebahagian daripada industri 3D sedangkan hakikatnya itu tidak lagi sedemikian," katanya.
Adi Wira berkata SDP sememangnya giat mengambil khidmat warga tempatan sejak tahun lepas dan berharap dapat melihat bilangan pekerja ini terus meningkat berikutan prospek masa depan industri ini adalah cerah.
"Minyak sawit adalah bahan penting dan bernilai kepada dunia. Lebih 50 peratus produk yang anda lihat di pasar raya di serata dunia mengandungi minyak ini yang sukar digantikan dengan sumber alternatif lain," katanya.
SDP dan pengeluar minyak sawit lain terpaksa memulakan langkah pengambilan (pekerja) secara lebih kreatif untuk menggajikan rakyat tempatan. Saham SDP diniagakan pada RM4.93 sewaktu dibuka Isnin meningkat 0.41 peratus.
Sementara itu, syarikat perladangan tersebut berusaha lebih gigih untuk menyiarkan iklan pekerjaan dalam talian dengan memberi penekanan kepada faedah yang ditawarkan termasuk perumahan percuma dan utiliti sebagai usaha menarik pekerja agar menceburi industri ini.
Barangkali, CPOPC boleh menjadi medan untuk Malaysia membincangkan isu ini dan memberi lampu hijau kepada pekerja Indonesia kembali semula ke Malaysia selepas menjalani pemeriksaan kesihatan COVID-19 yang terperinci.
Bagaimanapun, industri sawit dijangka mencatatkan prospek cerah tahun ini dengan penganalisis perladangan meramalkan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi antara RM3,000 dan RM3,500 satu tan metrik pada Februari, berikutan unjuran inventori lebih rendah di negara ini yang akan mengambil masa untuk ditambah semula.
-- BERNAMA
#minyak sawit
#Malaysia
#Indonesia
#diskriminasi
#ekonomi
#eropah
#Pertubuhan Perdagangan Dunia
#WTO
#Kesatuan Eropah