Persidangan sulung UFI di Malaysia, bakal jana RM2.8 juta nilai impak ekonomi

Haikal Raman
Mac 2, 2023 20:54 MYT
Menjadi tuan rumah kepada persidangan ini dilihat mampu menghubungkan jurang dalam memperkasakan portfolio acara-acara pameran di Malaysia. - Foto UFI
KUALA LUMPUR: Acara persidangan kali pertama UFI Asia-Pacific Conference 2023 (The Conference) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dijangka bakal menjana sebanyak RM2.8 juta nilai impak ekonomi dengan penyertaan lebih 200 delegasi dari 22 buah negara.
Persidangan disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) tersebut merupakan acara sulung anjuran UFI yang merupakan persatuan terkemuka antarabangsa bagi industri pameran.
Ia turut menjadi acara yang dinanti-nantikan para penganjur pameran, pengendali lokasi majlis, persatuan-persatuan industri acara, badan-badan kerajaan dan pelbagai penyedia perkhidmatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kehadiran UFI di Malaysia memberi makna yang besar dan amat signifikan kepada seluruh industri pelancongan di Malaysia.
“Pelancongan antarabangsa kini kembali rancak dan kementerian bertindak secara proaktif dan menyokong pelbagai aktiviti acara perniagaan yang mampu menarik jumlah besar delegasi ke Malaysia dan mempromosikan negara kita sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf antarabangsa.
“Saya berbesar hati untuk menjemput delegasi-delegasi UFI untuk merasai pengalaman berada di negara kami selain kerajaan turut mengiktiraf usaha terbaik dijalinkan antara MyCEB dan UFI ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB berkata, sebagai pemandu utama kepada perkembangan ekonomi global, industri acara perniagaan kini kembali berkembang maju pada kadar yang pantas.
“Kita beruntung kerana memperoleh keyakinan UFI dan penganjuran persidangan ini menunjukkan kepercayaan mereka terhadap pasaran Malaysia dalam memberi nilai tambah kepada pengikut global UFI.
“Kita sangat percaya dengan menjadi tuan rumah kepada acara ini, ia akan menghubungkan jurang dalam memperkasakan portfolio acara-acara pameran di negara ketika ini. Perkara berkenaan sekali gus menjamin acara perniagaan berprofil tinggi pada masa hadapan menerusi pelbagai rangkaian dan pengiktirafan,” ujarnya dalam kenyataan sama.
MyCEB pada tahun lalu berjaya memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama UFI dalam memperkenalkan kelayakan Sijil Profesional UFI (UCP) di Malaysia. Negara turut menjangkakan untuk menerima pertumbuhan jumlah acara perniagaan pada tahun ini.
Sementara itu, Menurut Pengarah Urusan UFI, Kai Hattendorf, ini merupakan masa yang terbaik untuk pihaknya mengadakan acara persidangan secara fizikal selepas sudah lama tidak dianjurkan berikutan pandemik akibat penularan COVID-19.
“UFI berbesar hati memilih Malaysia untuk memulakan semula bagi acara industri pameran di Asia. Ini kerana Malaysia memenuhi jangkaan kami dari pelbagai segi termasuk infrastruktur, fasiliti serta kekuatan etika kerja rakyat negara ini.
“Semua ini merupakan kriteria dalam menjayakan sesebuah pameran, malah MyCEB mampu membawa dengan baik apa yang kami gambarkan industri ini untuk berkembang pada masa hadapan,” jelasnya.
Sejak penubuhan MyCEB, Malaysia berjaya menjadi tuan rumah kepada 235 buah pameran yang menarik seramai 2.5 juta orang pengunjung dan menjana nilai impak ekonomi bernilai RM5.9 bilion.
Pada masa akan datang, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi acara WePACK ASEAN 2023, Food and Drink Malaysia 2023 serta Intelligent Manufacturing 2023.
Kesemua acara ini dijangka menarik seramai 8,800 pengunjung tempatan dan antarabangsa dengan jangkaan janaan impak ekonomi berjumlah RM26.6 juta, yang mana akan menyumbang secara pantas terhadap pertumbuhan industri acara perniagaan dan prestasi pelancongan negara.
Untuk maklumat lanjut berkaitan persidangan The Conference, sila layari www.ufiasia.org
#MyCEB #UFI Asia-Pacific Conference 2023 #nilai impak ekonomi #MOTAC
;