Persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguh

Hasimi Muhamad
Disember 15, 2020 13:56 MYT
Perkara itu diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga semua urusan peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2021 selesai.
Perkara itu diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1).
Ia sekali gus memberikan indikasi bahawa bacaan kali ketiga untuk Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 akan dilakukan, hari ini.
"Yang Dipertua tanpa mengambil kira usul Peraturan Mesyuarat 12 (1) terdahulu iaitu Khamis, 5 November 2020 dan mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1), saya memohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga diputuskan RUU Bekalan 2021 dan usul anggaran pembangunan 2021.
.
"Selepas itu, majlis mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, Rabu 16 Disember 2020," katanya ketika mengusulkan cadangan tersebut di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Usul tersebut kemudian dipersetujui sebelum diumum oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Hari ini, dua kementerian terakhir membahaskan RUU Perbekalan 2021 sebelum bacaan kali ketiga RUU tersebut oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
#Takiyuddin Hassan #Dewan Rakyat #Perdana Menteri #Belanjawan 2021 #undi belah bahagian #Parlimen
;