Persiapan Sarawak untuk RMK13 akan bermula tahun ini - Abang Johari

Bernama
Mei 15, 2024 04:45 MYT
Abang Johari berkata, di bawah RMK13, kerajaan negeri Sarawak akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah penengah (median) dan mengurangkan kemiskinan tegar. - Gambar Bernama
KUCHING: Persiapan Sarawak untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dimulakan tahun ini dengan tumpuan utama untuk melaksanakan fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, di bawah RMK13, kerajaan negeri Sarawak akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah penengah (median) dan mengurangkan kemiskinan tegar.
"Kita akan pastikan semua Anak Sarawak mendapat latihan dan pendidikan yang diperlukan untuk membangunkan tenaga kerja mahir dan produktif," katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, titik permulaan Sarawak dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang dibentangkan dalam PCDS 2030 dibuat semasa Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan berakhir pada Disember tahun depan.
"Pentadbiran saya akan terus memantau dan menjejaki sasaran PCDS 2030 dengan teliti untuk menyelesaikan masalah secara aktif dan mempercepatkan pelaksanaan projek keutamaan Sarawak," katanya.
Selain menyambut baik pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak AS$18,360 (AS$1=RM4.70), Abang Johari berkata, pendapatan isi rumah Sarawak juga boleh meningkat menerusi penggunaan teknologi dan inovasi.
"Dengan kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi, kami akan dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, menghasilkan taraf hidup lebih tinggi di Sarawak," katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak telah mencapai pelbagai pencapaian terutamanya melalui kejayaan pelaksanaan projek yang membawa nilai yang signifikan dan impak yang besar.
"Ini merangkumi pelbagai projek iaitu pembinaan infrastruktur fizikal dan digital, utiliti, inisiatif alam sekitar, pembangunan perumahan, institusi pendidikan, kemudahan penjagaan kesihatan dan program sosioekonomi," katanya. - BERNAMA
#COVID-19 #program sosioekonomi #pendapatan isi rumah #PCDS 2030
;