Persetujuan OPEC kurangkan pengeluaran lonjakkan harga minyak hampir 10 peratus
Bernama
Disember 1, 2016 16:39 MYT
Disember 1, 2016 16:39 MYT
Persetujuan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd) mulai Januari tahun depan membantu melonjakkan harga minyak hampir 10 peratus dalam dagangan semalaman.
Susulan pengumuman selepas pertemuan di Vienna semalam, harga niaga hadapan Brent Crude - penanda aras antarabangsa bagi harga minyak - meningkat kepada lebih US$51 setong daripada US$46 setong pada hari sebelumnya sebelum ditutup pada US$49.90 setong pagi ini.
Penganalisis penyelidikan penyedia perkhidmatan pembrokeran antarabangsa FXTM Lukman Otunuga berkata keputusan pengurangan pengeluaran OPEC yang mengejutkan itu telah meredakan kebimbangan akan lebihan bekalan dalam pasaran.
"Pengurangan pengeluaran ini akan menjadi yang pertama dalam tempoh lapan tahun, langkah penting yang memastikan OPEC mengekalkan kredibilitinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dengan pengurangan pengeluaran itu, paras siling baharu Opec akan ditetapkan pada 32.5 juta bpd.
Selain itu, katanya, perjanjian tersebut juga memperlihatkan toleransi Arab Saudi, Iran dan Iraq dalam detik-detik paling kritikal ini, mengenepikan perbezaan mereka masing-masing dan memastikan harga minyak terus meningkat.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata selain pengurangan pengeluaran Opec, negara-negara bukan anggota terutamanya Rusia, juga dijangka mengurangkan pengeluaran mereka untuk melonjakkan lagi harga.
Bank pelaburan itu berkata menurut Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak, negara tersebut akan mengurangkan pengeluaran secara perlahan-lahan dalam separuh pertama 2017 sehingga sebanyak 300,000 bpd.
Ia berkata pengeluar utama bukan Opec lain termasuk Azerbaijan dan Kazakhstan, juga merancang mengurangkan pengeluaran kepada kira-kira 600,000 bpd.
"Gabungan pengeluaran 1.8 juta bpd oleh Opec dan negara bukan anggota itu, mewakili hampir dua peratus daripada pengeluaran dunia dan akan membantu pasaran mengurangkan lebihan stok, yang mana telah menyebabkan harga merudum daripada paras setinggi US$115 setong pada pertengahan 2014," kata bank pelaburan itu.
Mengenai pecahan pengurangan pengeluaran Opec, Public Investment Bank berkata Arab Saudi akan mendahului dengan mengurangkan hampir 500,000 bpd, diikuti Iraq (210,000 bpd), Emiriah Arab Bersatu (139,000 bpd) dan Kuwait (131,000 bpd).
Libya dan Nigeria dikecualikan daripada perjanjian itu berikutan masalah di kemudahan pengeluaran minyak di negara masing-masing, manakala keanggotaan Indonesia digantung berikutan status negara itu sebagai pengimport minyak bersih.
Bank pelaburan itu juga mengekalkan saranan "neutral" bagi sektor berkenaan sementara menunggu pelaksanaan pengurangan tersebut. -- Bernama