Persatuan Nelayan P.Pinang lebar sayap perniagaan, ceburi bidang pelancongan

Bernama
Januari 10, 2018 13:41 MYT
Pen Mutiara juga akan menambah jumlah bilik hotelnya daripada 34 bilik kepada 100 bilik menerusi dua fasa tahun ini. - Gambar hiasan
Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) melebarkan perniagaannya dengan membuka agensi pelancongan sendiri dalam usaha memperkenalkan Malaysia, khususnya Pulau Pinang, kepada pelancong luar negara.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata pihaknya mendapat kerjasama dan nasihat daripada Kementerian Pelancongan bagi memastikan Pen Mutiara Travel dan Tours Sdn Bhd mematuhi syarat serta dapat memenuhi kehendak pelancong.
"Selepas enam bulan kami membuka agensi pelancongan itu, sambutan yang diterima sangat baik dan sekarang ini kami turut menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan luar negara bagi menyalurkan maklumat berhubung tempat-tempat menarik di Malaysia.
"Lebih menarik lagi, agensi pelancongan kami lebih Islamik, terutama menawarkan makanan halal dan tempat tinggal yang selesa, selain turut menawarkan pakej pelancongan perubatan untuk mereka yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Gala FAM Tour Pen Mutiara, di sini malam tadi.
Pada majlis itu, 160 agensi pelancongan dari ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Vietnam hadir bagi mendapatkan maklumat berhubung produk pelancongan di Malaysia.
Sementara itu, Nazri berkata Pen Mutiara juga akan menambah jumlah bilik hotelnya daripada 34 bilik kepada 100 bilik menerusi dua fasa tahun ini.
"Hotel Pen Mutiara yang beroperasi dengan 34 bilik pada November 2015, telah menjalankan kerja-kerja fasa kedua sejak bulan lepas bagi menambah jumlah bilik di hotel berkenaan," katanya.
Beliau berkata pihaknya melabur RM15 juta untuk dua dan tiga pembinaan hotel, membabitkan 66 bilik penginapan.
Nazri berkata penginapan berkonsepkan Islam itu diketengahkan kerana konsep itu kurang dipelopori, selain memenuhi kehendak pelancong.
"Pen Mutiara menceburi pelbagai bidang perniagaan, termasuk restoran kari kepala ikan, bagi menambah pendapatan sampingan 6,800 anggota persatuan," katanya.
Beliau berkata tahun lepas, Pen Mutiara mengumpul pendapatan sebanyak RM42 juta dan berharap angka itu akan meningkat tahun ini. - BERNAMA
#Brunei #Indonesia #Islamik #Nazri Ahmad #nelayan #pelancongan #Pen Mutiara Travel dan Tours Sdn Bhd #perikanan #Persatuan Nelayan Pulau Pinang #Singapura #Thailand #Vietnam
;