Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia mahu tarik pelaburan dari Belanda
Bernama
April 1, 2024 04:15 MYT
April 1, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) akan mengadakan lawatan ke Belanda untuk menarik syarikat-syarikat semikonduktor negara itu melabur di Malaysia.
Syarikat-syarikat semikonduktor luar negara yang menampatkan semula kilang mereka menyifatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan kerana setiap daripada mereka sedang bersiap sedia untuk pertumbuhan masa depan, didorong oleh fenomena dalam peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) terhadap cip-cip semikonduktor.
Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, misi ke Belanda itu susulan dialog baru-baru ini di antara persatuan itu dan bakal pelabur Belanda yang berpotensi yang sedang meneroka peluang-peluang perniagaan dalam sektor semikonduktor di rantau Asia Pasifik.
"Kami kini cuba membuat lawatan ke Belanda dan meyakinkan mereka untuk datang ke sini. Ini adalah inisiatif industri semata-mata," katanya.
"Apabila kita melihat adanya peluang seperti ini, adalah penting untuk bercakap dengan mereka dan memberitahu mereka apa yang kita ada di Malaysia, lebih-lebih lagi memandangkan syarikat itu bernilai tinggi yang akan mengukuhkan ekosistem kita," katanya kepada Bernama.
Lawatan yang dirancang itu datang ketika firma Belanda Neways, iaitu inovator global bermatlamatkan teknologi kritikal untuk syarikat semikonduktor, ketersambungan dan mobiliti pintar terkemuka, menubuhkan kemudahan pembuatan tercanggih di Klang dengan pengeluaran akan dimulakan pada suku keempat tahun 2024.
Wong juga mendedahkan bahawa banyak syarikat China "akan datang ke sini" untuk mengatasi gangguan dalam pengeluaran dan eksport mereka serta mengelakkan tarif Amerika Syarikat (AS) berikutan perang perdagangan AS-China.
Bagi syarikat-syarikat yang bersedia untuk pertumbuhan masa depan, beliau berkata hasil semikonduktor diunjurkan meningkat kepada AS$1 trilion (AS$1=RM4.7) menjelang 2030 berbanding AS$575 bilion pada masa ini.
"Semua ini dipacu oleh pertumbuhan yang luar biasa dalam penggunaan semikonduktor terhadap setiap aspek kehidupan kita," katanya.
AI kini menjadi kata kunci baharu yang mana dalam Industri 4.0 dan automasi pintar, ia digunakan dalam komputer yang diterjemahkan kepada permintaan yang lebih besar untuk litar bersepadu (IC) dan cip semikonduktor.
Kini terdapat aplikasi yang meluas untuk pelanggan seperti dalam kereta dan telefon, yang mana ia memerlukan cip semikonduktor yang dipertingkatkan bagi membolehkan pengkomputeran awan dan perkongsian data.
"Setiap kali anda kehabisan memori, anda beralih ke pengkomputeran awan dan ini mendorong penggunaan semikonduktor," katanya.
Syarikat-syarikat AS akan keluar dari China dan ingin berpindah manakala syarikat China tidak dapat mengeksport ke AS kerana Washington menggunakan frasa "keselamatan negara", dan mereka juga mahu berpindah ke luar negara untuk mengelakkan tarif Amerika.
Malaysia, katanya, harus memanfaatkan perkara itu dan ini adalah masa yang sesuai berikutan ketegangan geopolitik di antara AS dan China. - BERNAMA