Perolehan vaksin COVID-19, kelulusan Belanjawan 2021 jadikan Ringgit lebih kukuh - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
November 30, 2020 15:08 MYT
November 30, 2020 15:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar menjadi antara faktor dalaman yang mempengaruhi pengukuhan Ringgit sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, antara penyumbang lain kepada pengukuhan Ringgit termasuk perjanjian bersama antara kerajaan dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi pembelian awal vaksin COVID-19.
"Peningkatan nilai Ringgit itu adalah satu 'undi percaya' terhadap situasi ekonomi negara.
"Jadi perkara berkenaan (perolehan) vaksin COVID-19 ini dapat direalisasikan, sudah pasti ia dapat membantu dalam proses pembukaan ekonomi dan pelbagai industri lain yang bakal dibuka.
"Apabila banyak industri bakal dibuka dan beroperasi seperti biasa, ini akan merancakkan dan memastikan proses pemulihan ekonomi itu lebih terangkum dan lebih jitu," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, terdapat beberapa faktor luaran turut mempengaruhi nilai Ringgit ketika ini.
Selain berlaku peralihan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat dan kelemahan nilai Dolar yang berterusan, antara faktor lain yang mempengaruhi pengukuhan nilai Ringgit termasuk kemungkinan langkah mengurangkan pengeluaran minyak akan dilanjutkan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
"Di samping itu, harga minyak mentah juga mencatatkan kenaikan yang agak memberangsangkan sekitar AS$47 dan AS$48 setong untuk harga minyak brent.
"Ini banyak disumbangkan oleh situasi perolehan vaksin COVID-19 dan bagaimana ekonomi global bakal mencatatkan prestasinya pada tahun hadapan," ujarnya.
Minggu lepas, Ringgit terus melonjak ke paras paling kukuh sejak 24 Januari 2020 selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat dasar menerusi undi suara, sekaligus meredakan ketidakpastian dasar dan politik.
Malah, Ringgit turut mendapat rangsangan daripada harga minyak yang lebih baik di celah-celah kemajuan vaksin COVID-19.
#ringgit
#mata wang
#pengukuhan ringgit
#Belanjawan 2021
#undang-undang
#harga minyak
#minyak
#kerajaan
#politik
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#OPEC
#ekonomi