Perolehan gerakan koperasi cecah RM64 bilion, capai sasaran dua tahun lebih awal - Ewon
Bernama
Mei 13, 2024 19:30 MYT
Mei 13, 2024 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Gerakan koperasi mencatatkan perolehan mencecah RM64 bilion pada tahun lepas, melebihi sasaran RM60 bilion yang ditetapkan pada 2025 dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian itu menyaksikan sasaran perolehan ditetapkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 berjaya dicapai dua tahun lebih awal.
"Saya ucap tahniah pada agensi-agensi yang terlibat khususnya gerakan koperasi di Malaysia kerana berjaya mencapai sasaran ini," katanya dalam sidang media Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024 di sini hari ini.
Dasar Koperasi Malaysia 2030 yang memetakan hala tuju gerakan koperasi sehingga 2030 antara lain menetapkan sasaran perolehan RM60 bilion pada 2025 dan RM73 bilion pada 2030.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ewon hari ini memberi tumpuan dalam menentukan hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara serta mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam sektor itu.
Mesyuarat berkenaan juga membincangkan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi supaya terus relevan sebagai penyumbang pembangunan sosioekonomi negara.
Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan, Exco kerajaan negeri, wakil gerakan koperasi, wakil industri dan ahli akademik.
Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dalam pemberian insentif kepada gerakan koperasi di negeri seperti dilakukan Johor yang memperuntukkan insentif RM300,000, Perak (RM620,000) dan Melaka (RM100,000).
Sementara itu Ewon berkata kementeriannya akan melancarkan Koperasi Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 iaitu inisiatif baharu dengan koperasi-koperasi menyediakan perkhidmatan dalam sektor pelancongan pada 16 Mei ini.
-- BERNAMA