Perodua yakin capai sasaran meskipun peraturan ketat

Bernama
November 8, 2012 11:25 MYT
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), yang mencatatkan jualan sebanyak 155,400 unit dalam tempoh 10 bulan pertama 2012, berharap dapat memenuhi sasaran akhir tahun sebanyak 188,000 unit meskipun dengan peraturan sewa beli lebih ketat.
Pembuat kereta itu menyaksikan peningkatan jualan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan kempen pemasaran yang agresif dan pengenalan pakej baru khusus yang disasarkan kepada demografi utama.
"Kami menjual kira-kira 15,000 hingga 16,000 unit dalam bulan-bulan kebelakangan ini. Kami percaya ada peluang jika trend ini berterusan," kata Pengarah Urusan Datuk Aminar Rashid Salleh kepada pemberita selepas uji pandu media Myvi 1.5 liter, di Phuket Thailand.
Dua kempen terbaru Perodua benar-benar berhasil, katanya, sambil menambah bahawa kempen 'Jik-Dak-Lo-Gi' disasarkan kepada pasaran China menunjukkan peningkatan trend.
Beliau berkata kempen 'What's Up Graduate!' yang direka untuk menarik golongan yang tamat pengajian dan mahasiswa untuk membeli kenderaan, menyaksikan kadar pengambilan yang baik dan jauh melebihi jangkaan.
Mengenai impak kriteria diperketatkan bagi pembiayaan auto, Aminar Rashid berkata Perodua masih mampu merekodkan angka jualan yang baik dan menguasai 30 peratus bahagian pasaran.
"Penjual kami kini melihat kepercayaan kredit pembeli sebelum mengemukakan permohonan pinjaman mereka kepada institusi kewangan. Sudah ada penelitian dilakukan di peringkat kami," katanya.
Dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik, Aminar Rashid berkata Perodua melabur RM1.5 juta untuk menubuhkan pusat pembaikan badan kenderaan dan cat di Balakong, Selangor.
#otomobil #Perodua #Phuket #sewa beli
;