KUALA LUMPUR:Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan peningkatan 9 peratus jualan kenderaan kepada 240,000 unit kenderaan tahun ini.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, unjuran itu berdasarkan permintaan tinggi bagi model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pada 2020, syarikat itu menjual sejumlah 220,163 unit, manakala pada 2019 Perodua menjual 240,341 kenderaan.

Pada 2020, sejumlah 66,330 jualan melibatkan model Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza menjadikan penguasaan pasaran Perodua pada 41.6 peratus.

“Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model kami, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan buat kami.

“Di samping itu, berikutan pengakhiran 2020 yang lebih baik daripada jangkaan Perodua serta industri, kami ingin menambah stok kami dengan menaikkan sasaran pengeluaran kami kepada 272,000 kenderaan tahun ini – tertinggi dalam sejarah kami. Kenaikan ini akan membawa kepada penghantaran yang cepat pada tahun ini,”  kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau, melalui pemulihan jualan Perodua itu, syarikat itu menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion untuk tahun ini.

Zainal berkata syarikat itu juga komited untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 dipatuhi.