Perodua sambut baik pengumuman MoF
Sinar Harian
Jun 22, 2022 08:30 MYT
Jun 22, 2022 08:30 MYT
PERODUA menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka ditempah sebelum 30 Jun 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 Jun 2022 memaklumkan mereka yang telah membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022 boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan pada atau sebelum 31 Mac 2023.
“Perodua berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan para pengguna dan pada masa yang sama memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termasuklah impak COVID-19, kekurangan komponen dan kekurangan tenaga kerja.
“Isu-isu ini masih lagi ditangani yang mana Perodua dan pembekal kami sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dan lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu tersebut,” katanya.
Beliau menambah, bagi para pelanggan Perodua, pengumuman itu memberi jaminan bahawa mereka akan dapat menikmati insentif pengecualian cukai jualan yang telah membantu industri sejak tahun 2020.
“Setakat ini, kami cuba memenuhi pesanan tertunggak yang masih tinggi dan kami amat menghargai para pelanggan kami di atas kesabaran mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, mengenai penghantaran setakat ini, Perodua telah mendaftarkan 106,179 kenderaan antara Januari dan Mei tahun ini, iaitu 10 peratus lebih daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Daripada jumlah 106,179 tersebut, Perodua Myvi merupakan model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 24,024 unit dan Perodua Bezza sebanyak 23,336 unit,” katanya.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian