Perodua: Myvi baharu kini dibuka untuk tempahan

Bernama
November 9, 2021 11:43 MYT
Selain varian baharu, Myvi terbaharu itu akan didatangkan dengan teknologi yang dinaiktaraf, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan danpenjimatan bahan api yang lebih baik. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Myvi generasi ketiga Perodua telah menerima penambahbaikan dan kini dibuka untuk tempahan, kata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Pengeluar kereta itu menjelaskan Myvi baharu itu akan didatangkan dengan teknologi yang dinaiktaraf, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik dan varian ini termasuk 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X serta dua varian 1.3 liter G.
"Penambahbaikan ini mewakili usaha kami dalam memenuhi jangkaan para pelanggan yang semakin meningkat dan pada masa yang sama menawarkan nilai yang lebih hebat dengan memperkenalkan standard terbaharu untuk model paling diterima di Malaysia, Perodua Myvi," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan.
"Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi Baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini," tambah beliau.
Julat harga bagi Myvi Baharu ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans).
-- BERNAMA
#Myvi #Perodua #model #tempahan dibuka
;