Perodua lancar SUV pertama 'Aruz'
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 15, 2019 23:20 MYT
Januari 15, 2019 23:20 MYT
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akhirnya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) 'Aruz' dengan dua varian ditawarkan – 1.5X dan 1.5 Advance.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Datuk Darell Leiking pada Selasa.
Aruz ditawarkan dengan harga RM72,900 bagi varian 1.5X dan RM77,900 bagi 1.5 Advance.
Ia dihadirkan dengan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, model Aruz ini ditetapkan dengan piawaian terbaharu yang meliputi kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan.
Ia turut menerima pengiktirafan lima bintang bagi ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta Baharu (NCAP) di Asia Tenggara.
"Menerusi ciri ASA 2.0, ia dapat mengesan pejalan kaki sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan kelajuan operasi yang dipertingkatkan sehingga 100 km/j untuk Amaran Pra-Pelanggaran dan 80 km/j bagi sistem Brek Pra-Pelanggaran," katanya ketika berucap pada majlis pelancarannya di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.
Tambahnya, sejak 3 Jan lepas, Aruz telah menerima sebanyak 2,200 tempahan.