Perodua lancar kenderaan SUV D55L 3 Mac ini
Ridauddin Daud
Februari 24, 2021 16:05 MYT
Februari 24, 2021 16:05 MYT
RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melancarkan produk terbaharunya, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 3 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran itu akan dijadualkan pada jam 8.00 malam.
“Kita akan siarkan pelancaran itu di media sosial kami. Kita berharap orang ramai boleh klik kepada link yang disediakan untuk mereka masuk ke laman web kami.
“Di situ, mereka boleh mendapat pengalaman lebih interaktif selain akses kepada pelbagai maklumat berkaitan kereta tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perodua di sini pada Isnin.
Begitupun, maklumat berkaitan nama kereta tersebut, harga dan juga perinciannya tidak didedahkan dan hanya akan diumumkan ketika pelancaran nanti.
Pada 19 Februari lepas, media melaporkan Perodua D55L, model keluaran Perodua paling canggih setakat ini dibuka untuk tempahan.
Menurutnya, Perodua D55L yang merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua.
Tambahnya, antara ciri utama D55L adalah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA).
Astro AWANI diberi kesempatan untuk memandu uji kereta tersebut di ibu pejabat Perodua di Rawang baru-baru ini.
Berdasarkan pengalaman memandu selama hampir 15 minit itu, kereta tersebut boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya.
Dilengkapi pelbagai teknologi terkini yang sebahagiannya tiada dalam model Perodua sebelum ini, ‘handling’ untuk kereta ini juga boleh dikatakan agak baik.
Semasa melalui selekoh, keretanya agak stabil dan kawalan juga agak lancar, tidak rasa bergoyang atau ‘terbuang’ ke tepi.
Perincian lebih lanjut akan diumumkan pada 3 Mac nanti selepas ia dilancarkan termasuklah nama, harga, spesifikasi dan informasi lain.