Perodua lancar Axia E mampu milik, harga bermula RM22,000

Bernama
Jun 15, 2023 19:09 MYT
Zainal Abidin berkata Axia E sejajar dengan objektif asal syarikat untuk menyediakan mobiliti mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia. - Gambar/ Twitter @Bernama
PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan model Perodua Axia E mampu milik hari ini, menyasarkan terutamanya kepada penunggang motosikal, sekolah memandu dan kumpulan berpendapatan rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata Axia E sejajar dengan objektif asal syarikat untuk menyediakan mobiliti mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata jumlah keseluruhan industri bagi motosikal berjumlah kira-kira 500,000 unit setahun, sambil menambah bahawa beberapa motosikal ini berharga antara RM18,000 dan RM19,000 seunit.
"Jadi, penunggang motosikal ini adalah antara pasaran sasaran kami untuk model Axia E kerana kami ingin menawarkan mereka peluang untuk menikmati pemanduan kereta," katanya kepada pemberita pada pelancaran Perodua Axia E di sini hari ini, sambil menambah syarikat pengeluar kereta itu menyasar untuk menjual 1,500 unit model setiap bulan.
Zainal Abidin percaya model baharu itu akan menjadi pilihan yang dialu-alukan untuk majoriti rakyat Malaysia.
"Kos sewa beli untuk Axia E hanya RM300 sebulan, sama seperti membeli motosikal baharu secara sewa beli," katanya.
Perodua Axia E dijual pada harga RM22,000 (tanpa insurans) untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Perodua Axia E (manual) dilengkapi dengan dua beg udara, peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan waranti lima tahun.
Ia tersedia dalam tiga pilihan warna: ivory white, perak berkilauan dan kelabu granit baharu.
Tempahan dibuka mulai hari ini, dan Perodua berkata penghantaran akan mengambil masa dua atau tiga hari sahaja kerana mereka mempunyai stok sedia sebanyak 3,000 unit.
-- BERNAMA
#Perodua #Axia mampu milik #kereta paling murah #harga Axia baru
;