Perodua jangka jualan akan lepasi sasaran 2022
Bernama
Julai 6, 2022 17:44 MYT
Julai 6, 2022 17:44 MYT
RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka tahun 2022 akan menjadi tahun yang memberangsangkan kerana jualan dan tempahan terkumpul yang diterima pada separuh pertama 2022, melebihi unjuran awalnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu menjual 97,290 unit pada separuh pertama 2022, melonjak 30 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.
Perodua turut menerima jumlah tempahan lebih 200,000 unit sepanjang tempoh itu susulan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan, katanya.
"Pada hari terakhir inisiatif (SST), Perodua menyaksikan hari tempahan tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan 25,100 tempahan kenderaan diterima pada 30 Jun 2022," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada Januari tahun ini, Perodua menetapkan sasaran untuk mendaftarkan sebanyak 247,800 kenderaan pada 2022 berbanding anggaran jumlah keseluruhan industri sebanyak 610,000 unit yang diunjurkan oleh syarikat tersebut.
-- BERNAMA