Perodua Axia jadi penanda aras baharu pasaran EEV - Muhyiddin
Bernama
September 16, 2014 08:39 MYT
September 16, 2014 08:39 MYT
Model terkini kereta Perodua Axia bakal menetapkan penanda aras baharu dari segi kualiti, pengurusan kos dan produktiviti dalam pasaran kenderaan cekap tenaga atau EEV.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata model Axia ini membuktikan syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah mampu menyesuaikan diri dalam industri automotif dan terus berkembang di Malaysia.
"Adalah menjadi harapan kita bahawa jenama ini akan muncul sebagai pemain serantau dan kemudian menjadi jenama yang dikenali di seluruh dunia," katanya dalam ucapan semasa melancarkan model itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri; Pengerusi Perodua Tan Sri Asmar Kamaluddin; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Muhyiddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup, turut memuji Perodua kerana tampil mengeluarkan model kereta cemerlang yang bernilai untuk wang.
Beliau berkata Perodua telah menghadiahkan ganjaran kepada rakyat Malaysia dengan apa yang mereka benar-benar berhak dengan membangunkan kereta tersebut yang dituntut oleh pasaran.
"Ini adalah kereta yang menawarkan reka bentuk mudah dan kontemporari dengan menggabungkan fungsi, praktikal dan mesra alam tetapi boleh didapati pada lingkungan harga berpatutan.
"Berdasarkan senarai harga dan ciri-ciri yang terdapat dalam kereta ini, saya percaya Perodua Axia akan diterima baik oleh rakyat Malaysia dan saya juga berharap model ini akan dipasarkan di rantau Asia dalam masa terdekat," katanya.
Muhyiddin juga berkata tumpuan EEV di Malaysia bukan semata-mata kepada kenderaan cekap tenaga tetapi turut merangkumi kitaran hayat teknologi hijau automotif.
Beliau berkata adalah penting untuk mengambil kira rantaian nilai automotif secara keseluruhan dalam mentransformasikan industri.
"Kadar pelepasan gas rumah hijau perlu dikawal sepanjang masa dalam proses mengeluarkan kenderaan manakala pengeluar kenderaan dan komponen perlu memperbaik proses pengeluaran masing-masing bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
"Ia juga termasuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan sumber-sumber pengurusan," katanya.
Dengan pelaburan berterusan oleh syarikat-syarikat seperti Perodua, Muhyiddin berkata rancangan kerajaan untuk menjadi hab pengeluaraan kenderaan EEV di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 akan dapat direalisasikan.