Perniagaan Singapura digalak teroka lagi peluang pelaburan di Malaysia - Pesuruhjaya Tinggi
Bernama
September 14, 2016 07:03 MYT
September 14, 2016 07:03 MYT
Perniagaan Singapura digalakkan untuk meneroka lagi pelbagai peluang pelaburan di Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Ilango Karuppannan.
"Ini termasuk skim insentif Hab Prinsipal bagi syarikat yang mahu menjadikan Malaysia hab bagi operasi serantau mereka yang termasuk pengurusan risiko, membuat keputusan, aktiviti perniagaan strategik, dagangan, kewangan, pengurusan dan sumber manusia," katanya pada majlis resepsi sempena meraikan Hari Kebangsaan Ke-59 Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-83, pada Rabu.
"Dengan memanfaatkan skim-skim ini, syarikat boleh mengoptimumkan kos operasi mereka," katanya.
Majlis itu dihadiri Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Ketua Angkatan Pertahanan Singapura Leftenan Jeneral Perry Lim Cheng Yeow.
Ilango berkata perdagangan antara kedua-dua negara berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun lepas pada purata 5.0 peratus setahun.
Ketika ini, katanya, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China.
Pada 2015 jumlah perdagangan bernilai US$48.8 bilion (US$1=RM4.12) menyumbang 13.0 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia manakala bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan adalah sebanyak US$25.2 bilion.
Dari segi pelaburan, Ilango menyatakan Singapura merupakan sumber Pelaburan Langsung Asing (FDI) kelima terbesar Malaysia pada 2015 selepas Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan China, dengan jumlah pelaburan US$325 juta.
Selain itu, Singapura berada di tempat pertama dari segi bilangan projek yang diluluskan dan kedua dari segi pewujudan pekerjaan.
Johor menerima 70 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan dari Singapura ke Malaysia semasa tempoh ini, yang mana 60 peratus dicadangkan ditempatkan di wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, katanya.
"Bukan sahaja hubungan perdagangan dan pelaburan kita kukuh, ekonomi kita menjadi semakin saling bergantungan. Sebelum ini kita biasanya melaksanakan usaha pelaburan kita secara sendiri tetapi hari ini agensi pelaburan kita telah mula bekerjasama untuk mempromosikan pelaburan secara bersama," katanya.
Ilango berkata satu lagi bahagian penting kerjasama adalah pelancongan.
"Rakyat Singapura merangkumi lebih separuh daripada jumlah pelancong yang datang ke Malaysia. Tahun lepas, kami menerima 12.9 juta pelancong dari Singapura.
"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kami menyaksikan pertumbuhan 3.2 peratus kepada 6.6 juta pengunjung berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.
Pada masa hadapan, Ilango amat yakin kedua-dua negara akan berada di landasan kerjasama yang lebih stabil.
"Satu contoh konkrit adalah cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Jurong di Singapura dan Kuala Lumpur di Malaysia.
Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksaanaan projek HSR itu ditandatangani pada Julai tahun ini di Putrajaya.
Ilango menyatakan HSR akan memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, hanya selama 90 minit.
"Para pemimpin kita menyifatkannya sebagai pembawa perubahan. Perjalanan yang lebih singkat itu akan membuka banyak peluang bagi perniagaan ketika landskap ekonomi kedua-dua negara beralih.
"Selain Johor, negeri-negeri lain yang berdekatan Singapura juga akan mudah untuk diakses.
"Ia akan membuka ruang baharu dalam banyak bidang lain," katanya.
Ilango berkata kejayaan HSR juga bermakna cara lama menjalankan aktiviti perlu diubah.
"Para pegawai daripada kedua-dua pihak perlu berusaha dengan cara yang bersepadu. Sebagai contoh, para pegawai pelaburan kita telahpun bekerjasama dalam mempromosikan pelaburan.
"Tidak ada alasan mengapa kita tidak boleh melakukannya dalam bidang lain juga. Justeru itu saya yakin dengan masa depan hubungan Malaysia-Singapura," katanya.