Perniagaan perladangan FGV akan bertambah baik tahun ini - CEO

Bernama
Februari 27, 2023 19:33 MYT
Datuk Nazrul Mansor berkata, hasil daripada strategi pengambilan pekerja dipertingkatkan yang dilaksanakan sepanjang tahun, kekurangan pekerja asing menyusut daripada 32 peratus pada 2021 kepada 13 peratus pada 2022. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd melihat operasi sektor perladangannya akan terus bertambah baik tahun ini melalui penjenteraan, program penanaman semula dan inisiatif pengoptimuman kos kerana ia menguruskan peningkatan kos operasi dan harga tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nazrul Mansor berkata, hasil daripada strategi pengambilan pekerja dipertingkatkan yang dilaksanakan sepanjang tahun, kekurangan pekerja asing menyusut daripada 32 peratus pada 2021 kepada 13 peratus pada 2022.
"Kami menjangkakan menerima kira-kira 5,000 pekerja asing pada suku kedua tahun ini dan menyasarkan untuk membawa masuk kira-kira 10,000 pekerja asing sebelum akhir tahun," katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan suku keempat kumpulan itu berakhir 31 Disember, 2022, di sini hari ini.
Sementara itu, Nazrul berkata, dedikasi kumpulan itu untuk mempromosikan kemampanan, menjaga alam sekitar dan mengamalkan proses pengambilan penempatan pekerja yang beretika.
Seiring dengan dasar tiada yuran pengambilan penempatan pekerjaan FGV, beliau berkata, kumpulan itu akan membayar balik pekerja dan bekas pekerja asing yang bekerja selepas 27 Jun 2019 dan terpaksa membayar yuran pengambilan kepada ejen atau pihak ketiga lain di negara asal.
Pembayaran kepada 23,333 pekerja asing semasa kami berjumlah RM81.64 juta akan dibuat dalam tiga peringkat antara Mac dan September 2023.
"Selain itu, FGV telah mewujudkan dana terikat (sinking fund) berjumlah RM30 juta untuk membayar balik bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan penempatan pekerjaan semasa bekerja dengan FGV tetapi tidak lagi bekerja dengan syarikat itu," katanya.
Berkaitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, penilai bebas kumpulan itu, ELEVATE telah memuktamadkan penilaian di lokasi.
FGV sedang melaksanakan cadangan oleh ELEVATE dan menjangka untuk menyerahkan laporan akhir kepada CBP AS dalam masa terdekat.
"Visi kami adalah untuk menyampaikan makanan mampan dan produk pertanian kepada dunia. Kami percaya bahawa dengan mengutamakan kemampanan dan tadbir urus korporat yang boleh dicontohi, kami boleh mencipta masa depan yang lebih baik untuk planet kita dan generasi akan datang kerana jika kemampanan diutamakan, keuntungan dan pertumbuhan akan menyusul," katanya.
Keuntungan bersih FGV meningkat kepada RM1.32 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (tahun kewangan 2022) daripada RM1.17 bilion pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi dan sumbangan lebih baik daripada perniagaan logistiknya.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pendapatannya meningkat kepada RM25.56 bilion pada 2022 berbanding RM19.57 bilion sebelumnya.
FGV berkata, keuntungan dalam bahagian perladangan naik kepada RM2.1 bilion untuk tahun kewangan 2022 daripada RM1.6 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Kebanyakannya disebabkan oleh harga purata MSM yang lebih tinggi sebanyak RM4,832 setan metrik berbanding RM3,671 satu tan metrik yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, ditambah dengan volum jualan lebih tinggi sebanyak 19 peratus.
"Prestasi yang lebih baik itu turut disumbangkan oleh peningkatan margin dalam perniagaan hiliran dan baja serta dirangsang oleh bahagian keuntungan daripada usaha sama berjumlah RM106.08 juta pada tahun kewangan semasa daripada RM17.26 juta sebelumnya," katanya. - BERNAMA
#FGV Holdings Bhd #perniagaan perladangan #CEO FGV Holdings #Nazrul Mansor
;