Permohonan koperasi Ar-Rahnu masih tunggu kelulusan
Astro Awani
Februari 14, 2013 21:45 MYT
Februari 14, 2013 21:45 MYT
Sejumlah 71 koperasi kini menunggu kelulusan untuk melaksanakan konsep pajak gadai Islam (Ar-Rahnu).
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesemua permohonan itu akan diluluskan jika mematuhi keperluan dan syarat garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pembiayaan untuk koperasi terbabit dijangka mencecah RM1 bilion.
Antara syarat dalam garis panduan itu termasuk RM500,000 kumpulan wang anggota, tadbir urus yang baik dan dibenarkan melaksanakan aktiviti Ar-Rahnu.
“Sehingga hari ini tidak ada akta khusus yang sebenar mengenai konsep Ar-Rahnu ini dan oleh kerana itu juga tiada peraturan dan garis panduan yang jelas,”.
SKM telah mengeluarkan satu garis panduan yang jelas untuk aktiviti pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu yang dikawal SKM.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan garis panduan aktiviti pajak gadai Islam (Ar-Rahnu), di Kuala Lumpur.
Garis panduan tersebut yang berkuatkuasa 1 Mac ini, memberi panduan kepada koperasi mengenai pelaksanaan aktiviti Ar-Rahnu secara lebih teratur dan berhemat.