Permodalan sistem perbankan Malaysia kekal kukuh pada separuh pertama 2023 - BNM
Bernama
Oktober 9, 2023 06:50 MYT
Oktober 9, 2023 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia kekal dengan permodalan yang kukuh bagi tempoh separuh pertama 2023 serta penampan mudah tunai yang terus stabil, kata Bank Negara Malsysia (BNM).
Dalam kenyataan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2023 yang dikeluarkan semalam, bank pusat itu berkata nisbah perlindungan mudah tunai dan nisbah pendanaan stabil bersih agregat juga kekal jauh melebihi paras minimum pengawalseliaan, masing-masing pada 154.4 peratus dan 117.0 peratus.
"Nisbah modal keseluruhan berada pada 18.5 peratus pada akhir Jun 2023 dengan penampan modal berjumlah RM138.5 bilion yang melebihi paras minimum pengawalseliaan.
"Sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan. Nisbah kecukupan modal agregat dan lebihan penampan modal masing-masing berada pada 225 peratus dan RM38.8 bilion pada akhir Jun 2023," katanya.
BNM juga menyifatkan penampan bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful yang kukuh akan terus memastikan institusi kewangan berdaya tahan terhadap kejutan masa depan dan kerugian yang tidak dijangka.
Keadaan itu, katanya, akan membolehkan institusi kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan serta perlindungan isi rumah dan perniagaan.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew berkata institusi kewangan turut mencapai kemajuan dalam usaha menyelaraskan operasi perniagaan dengan matlamat alam sekitar dan kelestarian.
"Institusi itu juga semakin menerapkan amalan pelaburan dan pinjaman bercirikan lestari serta meluaskan penyelesaian kewangan hijau.
"Sehubungan itu, usaha menangani keperluan data dan pembinaan keupayaan dalam pengurusan risiko iklim, kekal menjadi keutamaan yang berterusan bagi institusi kewangan melalui inisiatif kerjasama yang disokong oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) dengan industri swasta dan agensi kerajaan," katanya.
Selain itu, BNM berkata walaupun volatiliti pasaran kewangan global terus ketara, keadaan pasaran domestik kekal teratur sebagaimana dicerminkan oleh pengantaraan aliran dua hala yang lancar dalam pasaran bon dan ekuiti.
Aspek nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk isi rumah kekal stabil pada 81.9 peratus.
"Secara amnya, median nisbah hutang kepada pendapatan (DTI) bagi keseluruhan isi rumah adalah stabil pada 1.4 kali berikutan standard pemberian pinjaman teguh yang dikekalkan oleh bank-bank," katanya.
BNM berkata, aktiviti perniagaan dalam negara juga bertambah baik dengan ketara pada separuh pertama 2023.
Bagaimanapun, pemulihan kekal tidak sekata apabila sektor-sektor tertentu terus menghadapi cabaran berikutan kos input yang tinggi serta permintaan luaran yang lemah.
Bank pusat itu turut menjangkakan perniagaan menghadapi cabaran berterusan seperti kos tinggi dan permintaan luaran yang lemah.
"Perniagaan akan turut memberi pertimbangan lebih penting kepada risiko dan peluang yang berkaitan dengan iklim.
"Namun, kebanyakan perniagaan dijangka mampu menghadapi potensi kejutan baharu berikutan leveraj perniagaan yang bertambah baik, penampan tunai yang kukuh serta model perniagaan yang lebih tangkas," kata BNM.
-- BERNAMA