Permintaan perjalanan domestik naik pada April 2021 - IATA
Bernama
Jun 9, 2021 06:08 MYT
Jun 9, 2021 06:08 MYT
KUALA LUMPUR: Permintaan perjalanan domestik meningkat pada April 2021 berbanding bulan sebelumnya tetapi kekal di bawah paras sebelum pandemik, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan, persatuan perdagangan syarikat penerbangan dunia itu berkata pemulihan dalam perjalanan penumpang antarabangsa telah terhenti berikutan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan.
Katanya jumlah permintaan untuk perjalanan udara pada April 2021 (diukur dari segi hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) susut 65.4 peratus berbanding April 2019 tetapi meningkat berbanding penurunan sebanyak 66.9 peratus yang dicatatkan pada Mac 2021 berbanding Mac 2019 didorong oleh kenaikan dalam kebanyakan pasaran domestik.
"Pemulihan yang kukuh dalam pasaran domestik secara berterusan memberi petunjuk bahawa apabila orang ramai diberi kebebasan untuk melakukan perjalanan, mereka memanfaatkannya. Malangnya, kebebasan itu masih belum ada dalam kebanyakan pasaran antarabangsa.
"Apabila ia berlaku, saya yakin kita akan menyaksikan peningkatan semula yang sama dalam permintaan," kata Ketua Pengarahnya Willie Walsh dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, permintaan penumpang antarabangsa pada April adalah 87.3 peratus di bawah April 2019, hampir tidak berubah daripada penurunan 87.8 peratus dicatatkan pada Mac 2021 berbanding dua tahun lepas.
Walsh berkata pendekatan yang lebih bersasar diperlukan untuk keselamatan dan perjalanan yang cekap apabila dunia memasuki kemuncak musim perjalanan musim panas di Hemisfera Utara.
Beliau berkata kebanyakan dasar kerajaan pada masa ini gagal untuk menutup sempadan tetapi selepas satu setengah tahun COVID-19, terdapat data yang mencukupi untuk kerajaan menguruskan risiko COVID-19 tanpa larangan perjalanan yang menyeluruh.
"(Dan) data menunjukkan ujian sebelum berlepas mengurangkan risiko pelancong tanpa vaksin mengimport COVID-19. Data United Kingdom mengesahkan kira-kira 98 peratus daripada penumpang yang tiba ditahan oleh perintah kuarantin sejagat yang akan keluar tanpa tanda-tanda penyakit ini," katanya.
-- BERNAMA
#IATA
#perjalanan domestik
#meningkat
#penerbangan
#Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa
#pemulihan
#perjalanan antarabangsa
#penumpang
#COVID-19
#pelancong
#pandemik
#vaksin
#United Kingdom
#Willie Walsh
#sekatan
#tutup sempadan