Permintaan penumpang udara global meningkat 21.5 peratus pada Februari - IATA
Bernama
April 5, 2024 08:40 MYT
April 5, 2024 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan penumpang global bagi perjalanan udara pada Februari 2024, diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Menurutnya, jumlah kapasiti, yang diukur mengikut tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) menokok 18.7 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan adalah 80.6 peratus.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata permulaan yang teguh untuk 2024 diteruskan pada Februari dengan semua pasaran, kecuali Amerika Utara mencatat pertumbuhan dua angka bagi trafik penumpang.
"Terdapat alasan munasabah untuk optimis mengenai prospek industri pada 2024 memandangkan syarikat penerbangan mempercepat pelaburan dalam penyahkarbonan dan permintaan penumpang memperlihatkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut IATA, semua kawasan menunjukkan pertumbuhan dua angka bagi pasaran penumpang antarabangsa pada Februari 2024 berbanding tahun lepas, yang menyaksikan permintaan untuk perkhidmatan antarabangsa melebihi paras prapandemik (+0.9 peratus berbanding Februari 2019).
Bagaimanapun, prestasi itu mengalami perubahan menjelang Februari 2024 berikutan tahun lompat dengan hari tambahan berbanding Februari 2023.
Permintaan antarabangsa meningkat 26.3 peratus berbanding Februari 2023 manakala kapasiti menokok 25.5 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan menambah kepada 79.3 peratus.
"Syarikat penerbangan Asia Pasifik menyaksikan kenaikan 53.2 peratus tahun ke tahun dari segi permintaan. Kapasiti meningkat 52.1 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan naik kepada 84.9 peratus, iaitu tertinggi dalam kalangan semua rantau," katanya.
Sementara itu, permintaan domestik menokok 15.0 peratus berbanding Februari 2023, kapasiti meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan pada 82.6 peratus.
"Pertumbuhan permintaan domestik diterajui oleh China (+35.1 peratus berbanding Februari 2023) yang mendapat manfaat daripada perjalanan tanpa had Tahun Baharu Lunar," kata IATA.
-- BERNAMA