Permintaan penumpang global naik 7.1 peratus pada Oktober 2024 - IATA
Bernama
Disember 4, 2024 06:00 MYT
Disember 4, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan penumpang global yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 7.1 peratus pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama bagi tahun lepas, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam kenyataannya pada Rabu, IATA berkata jumlah kapasiti yang berdasarkan tempat duduk disediakan bagi setiap kilometer, menokok 6.1 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan pada 83.9 peratus atau meningkat 0.8 mata peratusan berbanding Oktober 2023.
"Permintaan antarabangsa naik 9.5 peratus berbanding Oktober 2023. Kapasiti pula meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan menambah kepada 83.5 peratus (0.6 mata peratusan lebih tinggi berbanding Oktober 2023).
"Pada masa sama, permintaan domestik meningkat 3.5 peratus berbanding Oktober 2023. Kapasiti naik 2.0 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan pada 84.5 peratus (naik 1.2 mata peratusan berbanding Oktober 2023)," kata IATA.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata walaupun permintaan kukuh dan stabil secara berterusan dianggap baik, namun peningkatan dalam faktor beban juga sama pentingnya.
"Ini menunjukkan industri ini mencatat prestasi memberangsangkan dalam membawa penumpang secara lebih cekap," katanya.
IATA berkata semua wilayah turut memaparkan pertumbuhan untuk pasaran penumpang antarabangsa pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.
Wilayah Eropah mencatat faktor beban muatan tertinggi, Afrika menunjukkan peningkatan mendadak manakala Amerika dan Timur Tengah susut.
"Permintaan syarikat penerbangan Asia-Pasifik meningkat sebanyak 17.5 peratus tahun ke tahun, (dengan) kapasiti meningkat 17.2 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan melonjak 82.9 peratus (0.3 peratus lebih tinggi berbanding Oktober 2023)," katanya.
-- BERNAMA