Permintaan minyak dijangka meningkat sebanyak 2.2 juta bpd pada 2024 - OPEC

Bernama
Jun 6, 2024 04:00 MYT
Dunia memerlukan semua sumber tenaga, tidak seharusnya ada diskriminasi, tetapi usaha memburukkan industri minyak adalah ketara, kata Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais. - Gambar hiasan/AP
ST. PETERSBURG: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menjangka permintaan minyak akan meningkat sebanyak 2.2 juta tong sehari pada tahun ini dan permintaan komoditi itu akan kekal stabil dan kukuh, kata Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais pada Khamis, lapor Sputnik.
"Berkenaan tahun ini, kami melihat permintaan minyak meningkat sekitar 2.2 juta tong sehari, pertumbuhan tahun ke tahun," kata Ketua OPEC itu pada sesi Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF), sambil menambah bahawa permintaan dijangka kukuh dan stabil.
Dunia memerlukan semua sumber tenaga, tidak seharusnya ada diskriminasi, tetapi usaha memburukkan industri minyak adalah ketara, katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak telah meramalkan permintaan minyak global akan meningkat kepada 115 juta tong sehari menjelang 2030.
"Untuk jangka panjang, kami memahami bahawa walaupun untuk tempoh sehingga 2030 ... hari ini 102 (juta tong sehari) boleh berubah menjadi 110-115 juta tong sehari. Kerana petrokimia sedang berkembang, jumlah penerbangan meningkat," kata Novak di SPIEF.
Beliau berkata pengeluaran minyak di Rusia akan berada pada 505 hingga 515 juta tan pada 2024.
"Saya rasa kami akan berada dalam lingkungan 505 hingga 515 juta tan. Lebih dekat kepada 515 juta tan. Lebih tepatnya, ia akan diketahui menjelang akhir tahun," kata Novak.
Beliau berkata Rusia menjual minyaknya pada harga pasaran, dengan mengambil kira diskaun, yang telah cukup berkurangan setakat ini.
Rusia akan mula memulihkan pengeluaran minyak pada 1 Oktober sebagai sebahagian daripada pemotongan sukarela di bawah perjanjian OPEC+, kata pegawai berkenaan.
--BERNAMA-SPUTNIK
#permintaan minyak #OPEC #harga minyak #Rusia
;