Permintaan kargo udara, penumpang global naik lebih 8 peratus pada November 2024 - IATA

Bernama
Januari 9, 2025 06:00 MYT
IATA berkata, jumlah permintaan penumpang global, diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 8.1 peratus pada November 2024 berbanding bulan yang sama pada 2023.
KUALA LUMPUR: Pasaran kargo udara global menyaksikan pertumbuhan permintaan yang kukuh pada November 2024 dengan jumlah kargo tan bagi setiap kilometer meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ini menandakan pertumbuhan bulan ke-16 berturut-turut, katanya, dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut IATA, kapasiti, diukur dalam kargo yang tersedia tan bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 4.6 peratus berbanding November 2023.
Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata, setelah mempertimbangkan semua faktor, prestasi kargo udara dijangka menutup tahun 2024 dengan catatan menguntungkan.
"Walaupun prestasi kukuh ini sangat berkemungkinan berterusan sehingga 2025, terdapat beberapa risiko negatif yang perlu dipantau dengan teliti. Ini termasuk inflasi, ketidakpastian geopolitik dan ketegangan perdagangan," beliau memberi amaran.
Dalam pada itu, IATA berkata, jumlah permintaan penumpang global, diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 8.1 peratus pada November 2024 berbanding bulan yang sama pada 2023.
Katanya, jumlah kapasiti, diukur dalam tempat duduk yang tersedia bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun manakala faktor beban pada November sebanyak 83.4 peratus, meningkat 1.9 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Menurut IATA, permintaan antarabangsa meningkat sebanyak 11.6 peratus berbanding November 2023 serta kapasiti meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun dan faktor beban meningkat 2.3 mata peratusan kepada 83.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Sementara itu, permintaan domestik meningkat sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun. Kapasiti meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun dan faktor beban 1.2 mata peratusan lebih tinggi pada 83.5 peratus berbanding November 2023, kata IATA.
-- BERNAMA
#kargo udara #penumpang global #IATA #permintaan antarabangsa
;