Perlu reformasi terhadap sistem pencen sedia ada - Penganalisis ekonomi

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 4, 2022 12:29 MYT
Golongan yang berusia lebih 60 tahun namun masih bekerja ketika ini semakin meningkat disebabkan masalah ekonomi. - Gambar hiasan/Keluarga
KUALA LUMPUR: Isu membabitkan lebih 6.1 juta daripada pencarum mempunyai simpanan bawah RM10,000 memerlukan modul penyelesaian secara tuntas.
Ia bagi memastikan para pencarum dapat menikmati umur persaraan yang lebih selesa dan mampu menampung kos kehidupan pada masa depan.
Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari, isu ini bukanlah baharu memandangkan ia pernah diketengahkan sebelum ini.
Ia terutamanya membabitkan mereka yang bekerja di dalam sektor swasta yang dilihat lebih berisiko.
“Pemerhatian kami mendapati umur mereka selepas 60 tahun yang bekerja di sektor swasta telah meningkat. Kalau ikut cerapan tidak rasmi yang kami lihat sekitar tidak kurang dari dua juta pekerja yang melepasi umur 60 tahun yang masih bekerja.
“Kita dapati bahawa kenapa mereka masih bekerja adalah disebabkan keadaan ekonomi mereka selepas pencen yang tidak cukup untuk menampung kos sara hidup,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Ekonomi | Strategi tingkatkan caruman KWSP
Tambahnya lagi, jika diambil kira dengan kadar gaji minimum yang ditetapkan ketika ini sudah pasti ia tidak akan membantu pencarum sebaik mereka mencecah usia 60 tahun.
“Dalam perbincangan sebelum ini saya telah utarakan agar satu reform perlu dilakukan iaitu pembaharuan kepada sistem pencen swasta sangat diperlukan. Kita sudah tidak boleh lagi mengekalkan sistem yang ada seperti sekarang ini.
“Jika ia (berterusan), menjelang persaraan, simpanan itu dikeluarkan semua maka sehari atau dua hari duit mereka sudah habis. Kita tidak mahu begitu, kita mahu pencen itu seperti modal sosial (social capital) atau insurans sosial seperti di negara-negara maju yang lain,” jelasnya lagi.
Pendekatan itu katanya lagi lebih efektif memandangkan pencarum akan dibayar pencen mereka secara bulanan dan mengikut kos sara hidup semasa.
Para pencarum juga akan lebih menikmati pencen mereka secara lebih harmoni.
Katanya lagi, jika dilihat negara-negara luar yang lebih maju kebanyakannya mengamalkan satu sistem pencen sahaja sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan.
Ini jelasnya akan mengukuhkan lagi kedudukan dan sistem kewangan agensi yang menguruskan sistem pencen tersebut.
“Pada pandangan saya, jika kita hendak melaksanakan pembaharuan ini kemungkinan suntikan kewangan daripada kerajaan diperlukan terlebih dahulu dan kita kena juga memastikan bahawa semua pekerja di luar sana perlu mempunyai sistem pencen ini.
"Ini bagi membolehkan kita boleh menggunakan sistem asas ini untuk memberi pencen kepada mereka selepas bersara nanti," ulasnya lagi.
BACA: Simpanan 2.6 juta pencarum KWSP kurang RM1,000 - KWSP
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengumumkan bahawa lebih 2.6 juta pencarum mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah setakat Disember 2021.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 86 peratus berbanding 1.4 juta pencarum pada April 2020.
#KWSP #pencen #persaraan #pencarum
;