Perlu kerja lebih pantas supaya Malaysia kekal jadi hab pengeluaran semikonduktor utama dunia - PM

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 8, 2024 15:43 MYT
Anwar bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua, kiri) melakukan gimik perasmian pada majlis perasmian Infineon Kulim 3 di Infineon Technologies (Kulim), Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
KULIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua pihak perlu bergerak dan bekerja dengan lebih pantas bagi memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran utama semikonduktor dunia dapat dikekalkan.
Menurut beliau, langkah itu juga akan membolehkan negara mencapai matlamat dalam meningkatkan sektor industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia.
Tambahnya, industri yang telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1970-an itu telah menjadi antara penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi dalam negara.
"Saya percaya menteri-menteri, dan juga Menteri Besar berkongsi pandangan sama yang mana kita tidak boleh meletakkan sasaran menjadi pemain industri yang berjaya dalam teknologi baharu jika kita masih bekerja pada tahap yang sama,
"Terdapat juga beberapa cabaran lain, tetapi saya yakin dan faham, kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk sentiasa bekerjasama dengan pelabur dalam memastikan negara ini sentiasa menarik buat para pelabur," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (Kulim) di Kulim pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menyatakan persetujuan Infineon Technologies AG untuk meningkatkan pelaburannya melalui pembinaan fasiliti tambahan bernilai lebih RM34 bilion menjadi bukti kepada keyakinan syarikat gergasi semikonduktor dari Jerman itu untuk melabur di Malaysia.
Tambah beliau, Malaysia kini juga boleh berbangga apabila kemudahan pengeluaran semikonduktor milik Infineon itu adalah yang terbesar di dunia dan hasil produknya dieksport ke peringkat global.
#Anwar Ibrahim #Sektor Elektrik dan Elektronik #semikonduktor #Malaysia
;