Perlu ada sistem kewangan serantau untuk kestabilan ekonomi, kata PM
Bernama
September 6, 2023 00:44 MYT
September 6, 2023 00:44 MYT
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan kepada sebuah sistem kewangan serantau yang mampu menangani ketidakpastian di dalam ekonomi sejagat dan risiko kewangan selain mampu meningkatkan kebebasan ekonomi serantau dan jaringan keselamatan.
Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga Ke-26, beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai keterjaminan makanan dan gesaan untuk meningkatkan kerjasama dalam pertanian pintar, terutamanya tumpuan kepada pekebun kecil.
Anwar juga menggesa kerjasama dengan China, Jepun serta Korea Selatan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, aset kepelbagaian biologi dan aplikasi teknologi pertanian.
Beliau juga menyambut baik penerimagunaan Kenyataan Pemimpin ASEAN Campur Tiga terhadap Pembangunan Ekosistem Kenderaan Elektrik.
Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan dipimpin Presiden Indonesia Joko Widodo.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang berakhir esok. Ia sidang kemuncak pertama beliau dengan rakan dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
-- BERNAMA