Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh pertumbuhan TIME dotCom Berhad
Kenyataan Media
Oktober 10, 2023 22:02 MYT
Oktober 10, 2023 22:02 MYT
KUALA LUMPUR : Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dan Global Transit International Sdn. Bhd. (“GTI”) mengumumkan pencapaian penting dalam perkongsiannya, berikutan kejayaan transformasi TIME dotCom Berhad (“TIME”), penyedia telekomunikasi yang mengkhususdalam ketersambungan domestik dan antarabangsa, pusat data, awan dan penyelesaian perkhidmatan terurus bagi memenuhi keperluan pasaran runcit, perusahaan dan pukal.
Perjalanan Khazanah bersama GTI bermula pada 2008. Selaras dengan peranan strategik Khazanah dalam menyokong dan membangunkan usahawan tempatan, GTI telah dipilih sebagai rakan kongsi untuk memacu pertumbuhan operasi dan kewangan TIME.
Sepanjang tempoh 15 tahun, perkongsian dan perjalanan itu telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan, berdasarkan prestasi kewangan syarikat itu yang kukuh.
Berikutan itu, Khazanah memberi kepentingan terhadap inisiatif pengimbangan semula portfolio dengan lebih luas untuk menjana aliran masuk tunai bagi pelaburan semula masa hadapan, bagi memenuhi mandat untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang dan nilai sosioekonomi.
Sehubungan itu, Khazanah, melalui syarikat bersekutunya, Pulau Kapas Ventures Sdn. Bhd. (“PKV”) mengumumkan pelupusan strategik kepentingan tidak langsungnya dalam TIME. PKV adalah instrumen pelaburan yang dikawal oleh GTI dengan kerjasama Khazanah PKV hari ini telah melaksanakan penempatan 67.5 juta saham TIME (mewakili kira-kira 3.7% daripada jumlah saham TIME). Semua hasil daripada pelaksanaan penempatan ini akan terakru kepada Khazanah.
Berikutan penempatan itu, PKV akan mempunyai pegangan kira-kira 25.1% dalam TIME (28.8% sebelumnya). Hasil daripada pelaksanaan ini, pegangan GTI dalam PKV akan terus meningkat dan GTI akan kekal komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan jangka panjang TIME.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato' Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Sejak bermula perkongsian kami dengan GTI, TIME telah mempamerkan pertumbuhan yang teguh dan baru-baru ini mencapai modal pasaran melepasi RM10 bilion buat kali pertama pada Februari 2023. Perkongsian dengan GTI adalah satu contoh kejayaan dan peranan Khazanah dalam menyokong dan membangunkan usahawan tempatan, selaras dengan mandat kami.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik Memajukan Malaysia, kami akan terus mengenal pasti rakan kongsi berpotensi dengan rekod prestasi yang terbukti, keupayaan pelaksanaan dan idea perniagaan yang berdaya maju untuk menyertai kami dalam membangun dan memperkasakan syarikat-syarikat Malaysia generasi akan datang.
Dengan ini, pelaksanaan pengewangan dijalankan pada masa yang tepat memandangkan prestasi dan pulangan harga saham TIME yang sangat baik, berikutan kejayaan perkongsian ini. Meskipun kami bakal menamatkan perkongsian dengan GTI melalui PKV, kami akan memulakan perjalanan yang baru dan akan terus menyokong GTI dalam usaha berterusan mereka bersama TIME.”
Ketua Pegawai Eksekutif GTI, Afzal Abdul Rahim berkata, “15 tahun lalu, kami memulakan usaha yang agak mencabar untuk memulihkan TIME. Kami telah bekerjasama dengan Khazanah dalam setiap langkah untuk membuat keputusan strategik yang penting.
Dalam merangka pertumbuhan masa depan kami, GTI amat bertuah dapat bersama Khazanah sebagai rakan kongsi yang penting dan sentiasa memberi sokongan terhadap pertumbuhan TIME.”