Perkhidmatan penstriman video naik taraf kualiti jalur lebar
Nurulhana Ismail
Januari 7, 2016 18:17 MYT
Januari 7, 2016 18:17 MYT
Kewujudan serta kemasukan penyedia perkhidmatan penstriman video dijangka mampu meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Malaysia.
Menurut pakar gajet dan teknologi Pradeesh Parameswaran, situasi ini akan mendorong lebih banyak penyedia perkhidmatan jalur lebar menaik taraf infrastruktur dan menjadi lebih kompetitif.
Dengan persaingan untuk merebut lebih banyak pelanggan baharu, kos perkhidmatan jalur lebar dapat dikurangkan.
"Kita menuntut lebih banyak kandungan dipaparkan dalam definisi tinggi dan definisi tinggi penuh dengan pengalaman terbaik," kata Pradeesh.
"Tetapi cabaran ketika ini adalah kadar harga serta kualiti khidmat jalur lebar. Contohnya, kadar biasa pakej internet di Malaysia adalah sekitar RM100 dan bagaimana kita hendak wujudkan kadar yang lebih berpatutan dalam era digital ini," ujarnya.
Selain itu Pradeesh berkata Malaysia kini sedang bergerak ke arah menaik taraf perkhidmatan tahap jalur lebar yang lebih pantas seperti Singapura dan Hong Kong.
"Banyak pihak perlu melakukan penambahbaikan kepada perkhidmatan jalur lebar. Antaranya inisiatif kerajaan yang melaksanakan jalur lebar serta rangkaian internet tanpa wayar dengan infrastruktur yang lebih baik kini," tambah Pradeesh.
Beliau berpendapat, penstriman video dan semua aplikasi yang menggunakan data yang banyak akan mendorong sasaran kelajuan internet di Malaysia ditingkatkan kepada minimum 30 Mbps di semua lokasi menjelang 2020.
Ketika ini Malaysia berada di tangga 73 dari segi kelajuan dalam laporan keadaan internet oleh Akamai yang diterbitkan pada akhir 2015.
Menurut kajian berkenaan, penawaran perkhidmatan oleh syarikat pembekal, masih lagi tidak dapat memenuhi permintaan penggunaan internet di Malaysia.