Perkhidmatan kewangan Malaysia kekal kukuh - Perangkaan

Bernama
Ogos 1, 2024 07:40 MYT
Menurut DOSM, data daripada Banci Ekonomi 2023 itu menunjukkan kenaikan bilangan pertubuhanaktif daripada 15,945 pada 2015 hingga 32,245 pertubuhan pada 2022. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kewangan Malaysia mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 10.6 peratus bagi tempoh 2015 hingga 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, data daripada Banci Ekonomi 2023 itu menunjukkan kenaikan bilangan pertubuhanaktif daripada 15,945 pada 2015 hingga 32,245 pertubuhan pada 2022.
Ia berkata pada 2022, aktiviti perkhidmatan kewangan lain dan aktiviti sokongan kepada perkhidmatan kewangan merekodkan bilangan pertubuhan tertinggi sebanyak 26,633 dengan sumbangan 82.6 peratus.
"Ini diikuti oleh aktiviti insurans dan takaful, insurans dan takaful semula, tabungan pencen dan hemat (2,942 pertubuhan; sumbangan: 9.1 peratus) dan aktiviti perantaraan kewangan (2,389 pertubuhan; sumbangan: 7.4 peratus)," katanya.
DOSM berkata nilai output kasar perkhidmatan kewangan meningkat 5.0 peratus daripada RM122.4 bilion pada 2015 kepada RM172.0 bilion pada 2022.
"Aktiviti perantaraan kewangan merupakan penyumbang utama kepada nilai output kasar, iaitu sebanyak RM87.9 bilion (51.1 peratus).
"Diikuti oleh aktiviti perkhidmatan kewangan lain dan aktiviti sokongan kepada perkhidmatan kewangan (RM43.1 bilion; 25.1 peratus)," katanya.
Dari segi nilai ditambah, peningkatan sebanyak 5.1 peratus direkodkan pada 2022 iaitu RM110.1 bilion berbanding RM77.6 bilion pada 2015, menurut jabatan itu.
"Aktiviti perantaraan kewangan menyumbang nilai ditambah tertinggi berbanding aktiviti lain, iaitu sebanyak RM64.8 bilion (58.9 peratus).
"Diikuti oleh aktiviti insurans dan takaful, insurans dan takaful semula, tabungan pencen dan hemat (RM25.7 bilion; 23.3 peratus) serta aktiviti perkhidmatan kewangan lain dan aktiviti sokongan kepada perkhidmatan kewangan dengan sumbangan sebanyak 17.2 peratus (RM19.0 bilion)," katanya.
DOSM berkata nilai harta tetap perkhidmatan kewangan meningkat 3.6 peratus daripada RM245.6 bilion pada 2015 kepada RM314.8 bilion pada 2022.
"Aktiviti perkhidmatan kewangan lain dan aktiviti sokongan kepada perkhidmatan kewangan merupakan penyumbang utama kepada nilai harta tetap iaitu RM287.8 bilion (91.4 peratus).
"Diikuti oleh aktiviti perantaraan kewangan (RM17.2 bilion; 5.5 peratus) dan aktiviti insurans dan takaful, insurans dan takaful semula serta tabungan pencen dan hemat (RM9.5 bilion; 3.0 peratus)," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi malaysia #perkhidmatan kewangan #DoSM #Kerajaan Madani