PERKESO laksana skim perlindungan suri rumah bermula 2022 - Saravanan

Astro Awani
Ogos 9, 2021 15:47 MYT
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai, 2021, yang bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2022, menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Dalam satu kenyataan hari ini,beliau berkata, langkah itu susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai, 2021, yang bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.
Katanya lagi, SKSSR menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian, dan ia dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang.
“Pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apaapa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik ...
“.. atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan, ataupun the Care Economy,” katanya lagi.
Dengan pelaksanaan skim itu, Saravanan berkata, 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK), akan dilindungi oleh Kerajaan, manakala bagi suri rumah yang lain, penyertaan adalah secara sukarela.
Buat masa ini, tambahnya lagi, draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi bersama oleh KSM dan Jabatan Peguam Negara, sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri, untuk pembentangan di Parlimen dalam masa terdekat.
“Perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.
“Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang membuatkan peranan dan tanggungjawab mereka semakin mencabar dengan amalan norma baharu seperti Bekerja Dari Rumah (BDR) dan pelaksanaan pengajaran dan Pembelajaran Anak-anak di Rumah (PdPR),” katanya lagi.
#skim perlindungan #Suri Rumah #M Saravanan #Kementerian Sumber Manusia #undang-undang #Parlimen #pengajaran dan pembelajaran #Peguam Negara #COVID-19 #ekonomi #BDR #PdPR
;