Perkembangan monetari dan kewangan Januari 2016

Astro Awani
Februari 29, 2016 18:08 MYT
Ringgit menambah nilai berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kenaikan harga minyak mentah Brent menjelang akhir bulan Januari.
Inflasi meningkat kepada 3.5% pada bulan Januari mencerminkan sebahagian besarnya kesan asas daripada penurunan harga bahan api yang lebih besar pada bulan Januari 2015.
Menurut Perkembangan Monetari dan Kewangan, Januari 2016 yang dikeluarkan Bank Negara, harga petrol RON95 dikurangkan 10 sen seliter pada bulan Januari 2016, kurang daripada penurunan sebanyak 35 sen seliter pada bulan Januari 2015.
Sementara itu, kadar antara bank bagi semua tempoh matang kekal tinggi pada bulan Januari disebabkan oleh persaingan yang berterusan dalam kalangan bank untuk pendanaan yang stabil.
Kadar pinjaman runcit kekal stabil pada bulan Januari.
Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat 8.3% pada bulan Januari 2016, dengan pertumbuhan terbitan bersih sekuriti hutang swasta dan pinjaman sistem perbankan terkumpul menurun sedikit.
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh dengan Nisbah Modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1, Nisbah Kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal masing-masing pada 13.0%, 13.9% dan 16.6%.
Paras pinjaman terjejas bersih kekal pada 1.2% daripada pinjaman bersih, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman pada 95.6%.
Pada bulan Januari, ringgit menambah nilai berbanding dengan mata wang rakan perdagangan utama Malaysia.
Ringgit menambah nilai berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kenaikan harga minyak mentah Brent menjelang akhir bulan Januari.
Kekukuhan ringgit juga sebahagiannya disebabkan oleh sentimen positif susulan pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016, dengan sasaran defisit fiskal Malaysia kekal pada 3.1% daripada KDNK.
Walau bagaimanapun, kebanyakan mata wang serantau menyusut nilai pada bulan itu disebabkan oleh kebimbangan yang makin meningkat terhadap kemungkinan ekonomi RR China terus lembap berikutan pengumuman data ekonomi yang lemah.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM410.2 bilion (bersamaan dengan USD95.6 bilion) pada 15 Februari 2016, memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan ialah 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.
#Bank Negara #Inflasi #Perkembangan Monetari dan Kewangan #ringgit
;