Bagaimana SUPERB BizPitch memanfaatkan pemenang geran dalam merealisasikan bisnes idea mereka?

Kami berpeluang menemu bual Farid Hidayat Fadzil dan Nur Hidayah Hassan pemenang SUPERB siri pertama bagi memahami perjuangan keusahawanan mereka serta impak positif yang dibawakan oleh program SUPERB.




1. Sila kongsikan sedikit sebanyak mengenai latar belakang anda.


Farid Hidayat:
Nama saya Farid Hidayat, bapa saya namanya Haji Fadzil dan dia bekas seorang pegawai dalam Tentera Darat. Saya dilahirkan di negeri Johor tetapi dibesarkan di kebanyakan negeri di Utara kerana adat anak tentera mungkin? Mungkin ini juga yang menjadikan saya lebih sayangkan Malaysia.

Farid Hidayat adalah salah seorang pemenang SUPERB siri pertama dengan produk elektrik hidro mini. Syarikatnya mereka bentuk unit mini hidroelektrik yang boleh menjana kuasa elektrik (6kW-60kW) untuk kegunaan masyarakat.
Farid Hidayat (kiri, barisan depan) adalah salah seorang pemenang SUPERB siri pertama dengan produk elektrik hidro mini. Syarikatnya mereka bentuk unit mini hidroelektrik yang boleh menjana kuasa elektrik (6kW-60kW) untuk kegunaan masyarakat.


Emak saya seorang guru sains, Allahyarhamah Chee Chik Binti Darus. Beliau yang bertanggunjawab menarik minat saya dalam kejuruteraan dan sains.

Dari segi pendidikan pula, saya tidak jauh bezanya dengan rakyat Malaysia yang lain. Saya sudah berjinak dalam dunia perniagaan sebelum saya tamat pengajian lagi. Jadi apa bila saya tahu minat saya, mudahlah saya mencari kenalan dan bergerak berkumpulan keran ia lebih sistematik.

Saya juga bekas Pegawai Tentera Udara Malaysia di bawah didikan Anjutan Kapten Yahaya. Beliau yang banyak mendidik saya dalam erti pengurusan kemanusiaan dalam mencapai objektif yang ditentukan organisasi.




Nur Hidayah:
Nama saya Nur Hidayah Hassan. Mempunyai kelayakan sebagai seorang akauntan. Sangat menyukai kasut dan mungkin mempunyai almari yang sarat dengan kasut pada usia 6 tahun.

Saya masih ingat kasut kulit pertama pemberian ibu, apabila saya berumur 5 tahun semasa Hari Raya. Saya akan menghidunya, menyimpannya dengan baik di dalam kotak kasut dan sentiasa balut semula selepas menggunakannya. Ia adalah Hush Puppies, gaya Mary Jane, dengan tumit tebal satu inci.

Mendapat inspirasi daripada pertukangan Itali, dan setelah menetap berhampiran sebuah kilang kasut di Sarajevo Bosnia Herzegrovina selama hampir 5 tahun ketika remaja, saya pulang ke Malaysia dengan impian untuk mencipta kasut keluaran tempatan yang mencapai tahap antarabangsa.



2. Bagaimanakah perjalanan anda menceburi bidang keusahawanan dengan produk anda?

Farid Hidayat:
Saya suka bidang kejuruteraan, guru saya kerap meyakinkan kami bahawa seorang jurutera itu adalah seorang penyelesai masaalah. Bagi saya ia kunci bagi pintu-pintu cabaran yang lebih menarik jadi saya tidak percaya bekerja makan gaji mampu memberi peluang sedemikian.

Justeru saya berdikit-dikit bermesra dengan alam perniagaan. Jatuh dan bangun itu resam usahawan. Rasulluwah SAW adalah inspirasi. Agama itu tunjangnya. Jika berjauhan denganNya maka kita akan berhadapan onak dan duri.

Pada tahun 2006 saya menerima cabaran dari pensyarah saya bagi menjalankan kajian “feasibility studies” dengan izin, terhadap keupayaan teknologi hybrid mekanikal dalam pembangunan tenaga bagi pesawat angkasa.

Malangnya ia gagal, namun begitu kumpulan kami yang kini dikenali sebagai Beliung Works Design berjaya memberi sentuhan inovasi dan menukar kegunaannya kepada Hyro hybrid mini generator.

Cabaran seterusnya adalah dana pembangunan, oleh kerana teknologi dibangunkan oleh pihak persendirian maka dana adalah segalanya.

Pada penghujung tahun 2008 dana kami telah kehabisan, kekangan teknologi semasa menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi.

Pada tahuan 2009 setelah kami mendapat keputusan dan berpuas hati dengan data yang diperolehi maka projek ini telah ditutup dan dihibenasikan sementara waktu kerana kos bagi meneruskannya sudah tidak realistik dengan hasil yang diperolehi. Maka ia berakhir di pusat kitar semula.

Semua ahli kumpulan terpaksa berpecah untuk kerjaya masing-masing. Namun kami tetap bersatu dibawah sebuah syaikat yang menjadi platform kami mencari dana bagi merialisasikan kembali teknologi-teknologi yang direncana dan berhubung antara satu sama lain.

Dan Alhamdulilah kami tidak putus-putus menerima projek dan sedikit demi sedikit kami berjaya bangun kembali walaupun telah meredah berbagai badai.

Kini dengan keyakinan masyarakat dan matlamat baru projek mini hydro hybrid ini kini mampu diketengahkan semula bagi merealisasikan impian syarikat.



Nur Hidayah:
Dari segi modal, saya mula agak kecil, dengan mencipta kasut buatan sendiri. Saya melakukannya secara sambilan ketika bertugas sebagai akauntan.

Amat sukar untuk membina sebuah jenama kasut, jadi saya mencipta label fesyen lain yang bernama HiDY, memberi tumpuan semata-mata kepada Kurti-seperti- gaun jubah ala-kurti yang diperbuat daripada kain kapas dan linen berkualiti tinggi.

Saya sangat aktif dalam jualan langsung, dan menyertai bazar dan pameran. Ia membantu saya mengumpul pelanggan yang ramai dan koleksi.

Selepas setahun melakukannya secara sambilan, saya mempunyai aliran tunai yang lebih besar dan memutuskan untuk meneruskan secara sepenuh masa.

Saya fokus sepenuhnya kepada pembuatan kasut dan pengeluaran kecil untuk memenuhi pesanan pelanggan.

Bersama-sama dengan label HiDY, CIPELA Shoes dipromosi melalui sebaran mulut media sosial terutamanya Facebook.

 Nur Hidayah adalah salah seorang pemenang SUPERB siri pertama dengan produk kasut serta aksesori buatan tangan berjenama CIPELA, yang menampilkan reka bentuk yang indah dengan nilai ketukangan yang tinggi menggunakan songket dan batik.
Salah satu produk dari CIPELA, reka cipta Nur Hidayah. Nur Hidayah adalah salah seorang pemenang SUPERB siri pertama dengan produk kasut serta aksesori buatan tangan. CIPELA menampilkan reka bentuk yang indah dengan nilai ketukangan yang tinggi menggunakan songket dan batik.



3. Apakah inspirasi anda disebalik ciptaan produk anda?

Farid Hidayat:
Pada 3hb Januari 2014, Alhamdulilah saya memperoleh seorang putera yang pertama dalam hidup saya.

Pada masa yang sama Allah telah memberi kelapangan masa semasa menjaga permaisuri hidup saya berpantang.

Saya dihampiri kenalan keluarga isteri saya yang sering menceritakan permasalahan bil utiliti dan kos operasi yang tinggi dalam mengendalikan sekolah agama bagi anak-anak qariayah dan asnaf (kurang berkeupayaan).

Guru-gurunya pula sangguh berkorban segalanya demi melahirkan jiwa-jiwa yang berilmu. Jadi hati saya terusik dikala hidayah Allah mengetuk pintu hati saya bagi menyahut cabaran tersebut.

Maka lahirlah idea pelan perniagaan tersebut, walaupun teknologinya telah lama dimulakan tetapi tiada objektif atau pakej produk.

Setelah merujuk kembali projek tersebut maka kami berjaya mencuri tumpuan berbagai pihak yang sedia melihat projek ini berjaya demi melihat masyarakat membangun bersama-sama arus perdana.


Nur Hidayah:
CIPELA sendiri bermaksud ‘kasut’ dalam pelbagai bahasa; Bosnia, Croatia, Serbia dan Brazil.

Saya membesar di Bosnia Herzegovina, dan apabila saya mula membuat kasut, perkataan pertama yang terlintas dalam minda saya adalah CIPELA.

Saya mahukan satu jenama yang ada kualiti dan tahap antarabangsa, tetapi berteraskan latar belakang Malaysia.



4. Kongsikan apakah kelainan yang dibawa oleh produk anda?

Farid Hidayat:
Projek ini adalah sebuah sistem logi janakuasa elektrik hidro dengan keluaran tenaga yang kecil iaitu 6 kilowatt.

Walaupun begitu kaedah penjanaan tenaganya ada sedikit kelainan di mana sistem ini tidak memerlukan tenaga kinetik dari sumber semulajadi, contohnya air terjun mahu pun sungai untuk memusingkan turbin elektrik.

Tetapi ia merupakan sistem tertutup di mana air hanya disimpan di dalam dua tangki air. Dan air yang digunakan akan dikitar semula.

Dengan keluasan hanya 200 kaki persegi logi ini mampu diletakkan hampir di mana sahaja dan penguna dapat menikmati nilai tenaga elektrik ini mahu pun dalam bentuk wang ringgit atau penjimatan tenaganya.


Nur Hidayah:
CIPELA mempunyai pelbagai kategori. CIPELA Couture adalah lebih kepada kasut buatan yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan. Saya menawarkan servis penyesuaian kasut dan beg, kebanyakannya barangan mewah.

CIPELA Shoes and Accessories pula fokus kepada aksesori dan kasut-sedia-dipakai. Harganya sangat kompetitif sepertimana jenama kasut antarabangsa.

Di bawah CIPELA Shoes, saya telah mencipta koleksi untuk setiap acara; Everyday CIPELA, CIPELA Bridal, CIPELA Evening, CIPELA Espadrilles dan koleksi “A contemporary twist on heritage” yang mengetengahkan koleksi kasut dan aksesori dengan elemen warisan songket dan batik mewah.



5. Bagaimanakah sambutan pembeli atau pelabur terhadap produk anda?

Farid Hidayat:
Pada masa ini, sambutannya amat luar biasa. Dari agensi kerajaan sehingga kontraktor perumahan, NGO dan banyak badan lain, semuanya berminat untuk berkerjasama.

Kami kini bertungkus lumus menyiapkan fasiliti syarikat bagi menyiapkan prototype komersil pertama bagi membolehkan penguna menilai produk kami. Syarikat menjangkakan produk komersial pertama untuk memasuki pasaran pada bulan Ogos 2015.


Nur Hidayah:
Setelah bertahun-tahun membuat kasut, kami telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada pelanggan tempatan, pihak berkuasa tempatan dan pembeli antarabangsa.

Ramai yang tertarik dengan hakikat bahawa kasut ini adalah buatan tangan dan dihasilkan di Malaysia.



6. Mengimbas kembali sewaktu SUPERB Siri Pertama yang anda sertai pada April 2014, bagaimana perasaan atau pengalaman anda menyertai program tersebut?

Farid Hidayat:
Sejujurnya, ia merupakan satu pengalaman yang menarik. Tidak pernah terlintas di benak pemikiran saya, saya mampu meletakkan harapan dan tanggungjawab sosial syarikat, sahabat handal, keluarga dan masyarakat dalam masa 5 minit!

Saya tidak pernah dicabar untuk memahami nilai satu jam dalam kehidupan saya, inikan pula satu minit.

Pengalaman ini merubah segalanya, pengertian saya dalam dunia perniagaan sangat cetek apabila saya menyertai SUPERB rupa-rupanya.


Nur Hidayah:
Proses SUPERB ini semestinya satu pengalaman yang tidak ternilai. Bertemu dengan rakan-rakan usahawan yang memberi inspirasi, jurulatih berpengalaman dan mentor dari latar belakang dan industri yang berbeza telah membuka mata untuk usahawan muda seperti saya.

Saya gementar, teruja, gembira kerana telah dipilih antara 60 peserta teratas, sebagai salah satu peserta peringkat akhir siri pertama SUPERB, TERAJU.

Saya amat bertuah dan beruntung disenarai pendek sebagai peserta peringkat akhir dan seterusnya memenangi SUPERB siri pertama.

Kumpulan saya ketika SUPERB siri pertama adalah seperti sebuah keluarga sekarang, menjaga diri masing-masing dan berkongsi perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa. Ia sudah pasti satu memori yang akan saya simpan untuk seumur hidup.




7. Adakah pendedahan yang diberikan sepanjang program SUPERB memberikan sebarang manfaat kepada anda dan bisnes anda?

Farid Hidayat:
Program ini sangat fokus, jadi manafaatnya sangat jelas.

1) Menjadikan saya sangat berhati-hati dan bersedia dalam menyahut cabaran peluang.

2) Penghargaan terhadap kualiti diri, dan penambahbaikan dalam mutu penampilan produk.

3) Setiap kelas akan menunjukkan kelemahan yang ada pada produk, mutu penampilan produk dan individu wajah kepada produk. Ini bagus kerana jika ia boleh dikenalpasti awal maka penambahbaikan dapat dikecapi.

4) Membina keyakinan diri, dan kekuatan dalaman peserta (terutama apabila dikritik mampu menerima dan membaiki diri).

5) Memperolehi jaringan hubungan perniagaan yang berkualiti dan aktif.



Nur Hidayah:
Saya dapati program ini sangat bermanfaat untuk usahawan yang serius. Ia membantu meningkatkan kemahiran, tahap keyakinan dan cara ‘pitching’ serta pembentangan kami.

Para mentor sangat berpengetahuan dalam pelbagai industri yang membolehkan kami fokus kepada matlamat kami sepanjang program SUPERB.




8. Bagaimanakah SUPERB telah membantu mengembangkan perniagaan anda?

Farid Hidayat:
Di atas perhatian dan sambutan ramai, syarikat kini telah berpindah ke lokasi yang lebih sesuai dan bengkel kerja yang lebih luas.

Syarikat berharapan dapat menyediakan pekerja suasana yang kondusif bagi berhadapan cabaran yang makin membesar.

Tenaga kerja SUPERB juga sangat prihatin dan bersungguh dalam menjaga kebajikan peserta.

SUPERB juga telah memberi peluang kepada syarikat saya menjalinkan hubungan korporat dengan syarikat gergasi dan GLC ternama.

Syarikat saya juga diberi peluang menghadiri kursus dan seminar yang bernilai ratusan ringgit demi memajukan syarikat.


Nur Hidayah:
Saya telah berjaya mempertingkatkan peralatan dan mesin pembuatan kasut saya dan pengeluaran semakin tinggi.

Dengan geran yang saya terima, ia akan membantu dalam pelan aktiviti-aktiviti penambahbaikan, pengeluaran dan pemasaran saya.



9. Pada pandangan anda, adakah program SUPERB membantu usahawan baru Bumiputera?

Farid Hidayat:
Dalam dunia keusahawanan, usahawan bukanlah insan yang menunggu peluang tetapi insan yang membina peluang. SUPERB telah miningkatkan keberangkalian tersebut.

Setiap idea yang ingin dikomersilkan mementingkan faktor kos dan usahawan Bumiputera kebanyakannya tidak memiliki stamina dan dana untuk sampai ke tahap yang tinggi.

Di dalam dunia globalisasi ini, masa adalah segalanya dan tiadanya perancangan rapi adalah resipi kegagalan. Alhamdulilah SUPERB telah menjadi batu loncatan dalam membantu usahawan Bumiputera.

Dana SUPERB memberi manfaat kepada komuniti usahawan baru kerana dana tersebut boleh membantu menghasilkan produk berkualiti.

Bantuan ini akan dinikmati oleh usahawan kecil lain yang berada dalam jaringan usahawan Bumiputera SUPERB yang mendapat dana tersebut.


Nur Hidayah:
Sudah semestinya! SUPERB adalah inisiatif efektif kerajaan untuk membuka peluang kepada para usahawan dan secara tidak langsung menjana ekonomi dalam pelbagai industri. Semua usahawan Bumiputera patut mencuba menyertai SUPERB dan bentangkan idea perniagaan mereka.



10. Adakah anda mempunyai perancangan untuk membawa produk anda ke pasaran antarabangsa?

Farid Hidayat:
Syarikat kami kini mendapat undangan bagi menjalankan pameran di Indonesia dibawah NGO tempatan, dan undangan dari GEOcities “comunity” dari Malaysia yang melitupi Asia Tengara.

Melihat dari perkembangan ini, syarikat kami optimis akan penerimaan produk ini di pasaran antarabangsa. Namun begitu keutamaan akan diberi kepada negara tercinta ini.

Nur Hidayah:
Itu adalah hala tuju kami dari dulu lagi. Semua yang kami lakukan memang dalam perancangan untuk menembusi pasaran antarabangsa.



11. Sila kongsikan rancangan masa hadapan untuk syarikat anda?

Farid Hidayat:
Dalam jangka masa pendek, kami sasar syarikat kami untuk menjadi peneraju dana kepada pihak NGO dan komuniti tempatan; inisiatif ini dilihat dapat dicapai dalam tempoh tiga ke empat tahun.

Dalam tempoh lima tahun, kami sasarkan untuk menjadi IPP mini bagi keluaran tenaga kasar 1 ke 3 megawatt.


Nur Hidayah:
Selain menembusi pasaran antarabangsa, kami sedang menyediakan jenama CIPELA untuk dipromosikan di Isetan, KLCC dari 28hb November sehingga akhir Disember. Kami akan berada di Tingkat 1, Isetan KLCC.

Kami dalam proses kerjasama dan menyediakan koleksi menarik Eid 2015 tahun hadapan. Nantikan kehadiran koleksi kami.

Aksesori buatan tangan berjenama CIPELA
Aksesori buatan tangan berjenama CIPELA